Veteran tentera tanding PRU15 langgar Akta 740, kata Mindef
PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan berkata mana-mana persatuan veteran yang terlibat dalam aktiviti atau kegiatan politik sama ada secara langsung atau tidak langsung menyalahi Akta 740.
Dalam kenyataan, Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera memaklumkan tindakan sewajarnya sehingga pembatalan atau penggantungan pendaftaran persatuan terlibat boleh diambil oleh Pendaftar bawah Seksyen 18, Akta 740.
Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyuarakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menggunakan platform parti politik sendiri dengan menyasarkan sebanyak kira-kira 50 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Presiden Persatuan Veteran ATM Sharuddin Omar (gambar) berkata, pihaknya kini dalam usaha menubuhkan sebuah parti politik dinamakan Parti Kemakmuran Negara bagi tujuan itu.
“Kami telah menghantar permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) kira-kira dua bulan lalu dan diharap permohonan kami diluluskan sebelum PRU15,” kata beliau.
Menurut Sharuddin, pihaknya mengambil pendirian untuk bertanding pada PRU15 kerana kelewatan kerajaan menyelesaikan isu-isu berkaitan veteran terutamanya membabitkan gaji dan pencen serta isu lain yang membabitkan rakyat.
“Kami telah mengenal pasti 50 calon veteran untuk bertanding pada PRU15, dari ketiga-tiga cabang ATM, iaitu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat,” kata beliau.
Nekad tanding 50 kerusi, Persatuan Veteran ATM akan tubuh parti