Hadi tak wajar gesa penjawat awam tak sokong kerajaan letak jawatan – CUEPACS


GESAAN agar penjawat awam yang tidak selesa bekerja dengan kerajaan yang memerintah supaya melepaskan jawatan seolah-olah memberi gambaran bahawa kakitangan terbabit tidak amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat serta negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Awam (CUEPACS) Adnan Mat memberi jaminan walaupun penjawat awam mempunyai ideologi politik berbeza namun mereka sangat profesional dan berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab.

Katanya, kakitangan kerajaan boleh boleh membezakan kepentingan awam yang dipikul mereka.

Serentak itu, CUEPACS mahu semua pemimpin politik kerajaan memberi keyakinan dan kepercayaan penuh terhadap profesionalisme penjawat awam yang selama ini menjadi tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan dan negara.

“Walaupun kerajaan dan kepimpinan tertinggi bertukar ganti, penjawat awam tetap setia dalam melaksanakan setiap dasar dan polisi yang diputuskan demi kebaikan rakyat dan negara dengan penuh profesionalisme.

“Justeru itu, CUEPACS berharap agar tiada lagi tuduhan mahupun sebarang persepsi bahawa penjawat awam tidak menyokong atau bertindak mensabotaj kerajaan.

“Percayalah bahawa selama ini penjawat awamlah yang membantu melaksanakan segala dasar dan polisi yang diperkenalkan kerajaan dalam membangunkan negara mahupun kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sejarah telah membuktikan bahawa penjawat awam tidak mempunyai masalah dalam melaksanakan amanah walaupun berlaku peralihan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan sekali lagi pada tahun lalu.

Adnan berkata, tidak timbul isu sabotaj dalam kalangan penjawat awam dan mereka kekal komited membantu kerajaan mendepani cabaran yang disebabkan pandemik Covid-19.

“CUEPACS merasakan apa-apa perkara yang cuba mengaitkan profesionalisme penjawat awam ketika semua pihak sedang fokus mendepani cabaran pandemik Covid-19 adalah tidak wajar dan sesuai.

“Sepatutnya semua pihak perlu berkerjasama bagi mendepani cabaran agar kita semua boleh mara ke hadapan,” katanya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, penjawat awam mesti mengikut arahan kerajaan dikuasai parti yang memerintah walaupun tidak menyokong parti yang membentuk kerajaan.

Tegasnya, jika tidak selesa dengan kerajaan bukan daripada parti yang disokong, secara moral mereka boleh meletakkan jawatan.

Ahli Parlimen Marang itu menggunakan contoh seorang pemain bola sepak profesional dari Kedah yang menerima tawaran bermain di Selangor dengan bayaran lebih mahal.

“Dalam perlawanan bola sepak antara negeri asalnya iaitu Kedah dengan pasukan bola sepak negeri Selangor, tiba-tiba dia menyerang pintu gol Selangor untuk memenangkan pasukan negeri asalnya. Ini adalah suatu perkara yang salah dari segi moral.

“Begitulah mereka yang menyokong Pakatan Harapan (PH) dan berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), tiba-tiba mengikut arahan PH yang sudah tidak menjadi kerajaan lagi,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya semalam. SM

Tidak selesa dengan kerajaan PN, sila letak jawatan – Hadi Awang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker