Tiga tahun selepas PH dan PN, politik Malaysia belum stabil


Tiga tahun selepas PRU14, politik Malaysia belum stabil
oleh G Manimaran

TANGGAL 9 Mei 2018 tidak dapat dilupakan oleh rakyat Malaysia. Ia masih segar dalam ingatan sebahagian besar pengundi.

Selepas Pilihan Raya Umum 1969 dan 2008, Pilihan Raya Umum ke-14 tiga tahun lalu telah meninggalkan kesan dan impak yang besar dalam landskap politik di negara.

Semalam genap tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Tiga tahun berlalu dengan pantas.

Kerajaan baharu di bawah teraju Pakatan Harapan (PH) menggantikan Barisan Nasional (BN) terbentuk pada 10 Mei 2018 dengan Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Itu dua detik sejarah pertama disaksikan pada 9 dan 10 Mei 2018.

Sejak itu banyak perkara yang tidak diduga dan tidak dijangka sama sekali telah disaksikan. Sehingga ke hari ini banyak perkara yang tidak pernah berlaku sebelum 9 Mei 2018 terus berlaku.

Antaranya, perubahan landskap politik. Beberapa penjajaran kuasa teraju telah disaksikan di kedua-dua peringkat Persekutuan dan negeri. Ini kali pertama dalam sejarah, perubahan besar berlaku dalam kedudukan parti utama yang memerintah di kedua-dua peringkat pusat dan negeri.

Malah buat julung kali penjajaran seumpama berlaku dalam tempoh yang singkat, iaitu hanya 22 bulan selepas PRU14.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri di Sabah (tahun 1994) dan Perak (2009) pernah berhadapan dengan situasi perubahan kerajaan yang memerintah. Ini kali pertama situasi yang sama disaksikan di peringkat kerajaan Persekutuan dan lebih daripada satu kerajaan negeri berubah tangan pada masa yang sama.

Ekoran perubahan landskap politik negara, Perikatan Nasional (PN), gabungan terbaharu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin – terdiri daripada Bersatu, UMNO, MIC, MCA, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS), STAR Sabah dan PBS serta disokong wakil rakyat Bebas, mengambil alih kuasa peringkat Pusat daripada PH, sekali gus membentuk kerajaan negeri Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sarawak manakala PH kekal di Pulau Pinang dan Selangor.

Dengan perubahan yang disaksikan itu, berikut adalah kedudukan kerusi di Dewan Rakyat dan DUN di seluruh negara sehingga bulan September 2020.


BN yang bertapak kukuh selepas ditubuhkan pada tahun 1973, hasil usaha menjenamakan semula Parti Perikatan (Perikatan) yang menang pilihan raya umum pertama, kedua dan ketiga masing-masing pada tahun 1959, 1964 dan 1969, kehilangan kuasa pada 9 Mei. Sebahagian besar komponen telah meninggalkan BN.

Pilihan raya di Malaysia juga kelihatan bergerak ke arah pertandingan dan pentadbiran sistem dua parti.

Ciri ini sudah mula kelihatan sejak tiga PRU yang lalu, terutama sejak tahun 2008. Persaingan dilihat di antara BN dengan Pakatan Rakyat (PR) yang kemudian dikenali sebagai PH dan kini muncul kerjasama baharu atas nama PN.

PN telah didaftarkan sebagai satu gabungan politik pada Ogos lalu. PN juga pertama kali telah bertanding dalam PRN Sabah yang berlangsung pada 26 September 2020.

Pilihan raya negeri itu dipanggil secara mengejut iaitu dalam tempoh 27 bulan selepas PRU14 ekoran ketidakstabilan politik di negeri itu.

Menjelang hari penamaan calon, PN bersama BN dan PBS membentuk satu lagi gabungan yang dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini memerintah Sabah menggantikan Warisan Plus.

Di Sarawak juga perubahan mengambil tempat apabila kebanyakan anggota komponen BN negeri itu keluar parti untuk menubuhkan GPS. Dalam lain perkataan kelihatan wujud gabungan khas di Semenanjung, Sabah dan Sarawak – tiga wilayah dalam Malaysia pada hari ini.

Berdasarkan maklumat diperoleh dari laman web Parlimen dan perkembangan politik semasa setakat 30 November 2020, PN mempunyai 113 kerusi di Dewan Rakyat manakala baki dalam genggam PH dan wakil rakyat Bebas.

Dua kerusi iaitu Gerik dan Batu Sapi masih kosong memandangkan pilihan raya kecil tidak dapat diadakan berikutan deklarasi Proklamasi Darurat ekoran impak pandemik COVID-19.


Di sebalik ketenangan sementara selepas PN berkuasa, kerajaan negeri Perak bergolak dengan krisis mengejut menggantikan menteri besar. PN berkuasa tetapi jawatan menteri besar bertukar tangan daripada Bersatu kepada UMNO.

Satu keunikan menarik dalam sistem pilihan raya demokrasi adalah peluang yang sama rata dan seimbang untuk bertanding dan memilih calon yang disukai manakala calon atau parti yang menang akan ditanggungjawabkan dengan mandat untuk mentadbir selama lima tahun akan datang.
Lazimnya, di Malaysia PRU akan diadakan dalam tempoh empat hingga empat setengah tahun mandat sedang berjalan. Hanya dua PRU peringkat nasional telah diadakan ketika di penghujung mandat.

Pemilih mempunyai hak, peluang dan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat pilihan mereka. Para pengundi harus mengetahui tanggungjawab mereka.

Calon dan parti yang bertanding juga mempunyai hak, peluang dan tanggungjawab mereka iaitu memastikan pencalonan mereka tidak berhadapan dengan halangan atau ditolak semasa proses penamaan calon. Jika tidak mereka akan keciciran peluang untuk bertanding.

SPR mempunyai tanggungjawab mengendalikan pengurusan pilihan raya dengan cekap, bebas, adil dan bebas serta memastikan penyertaan seramai yang mungkin dalam pilihan raya.

Akhirnya pilihan raya diadakan dengan matlamat untuk memilih sebuah kerajaan yang sah dan sahih untuk mentadbir negara sepanjang mandat yang diberikan.

Pada keseluruhannya pengurusan pilihan raya di Malaysia telah berjalan dengan baik dan lancar sejak PRU yang pertama pada tahun 1959.
Pun begitu, berdasarkan kepada kehendak dan keperluan semasa, sistem dan undang-undang pilihan raya boleh ditambah baik dan memerlukan penambahbaikan.

Perkembangan sepanjang dua tahun yang lalu telah meletakkan keperluan yang mendesak ke arah itu.

Misalnya, kuasa bagi SPR menunda atau menangguhkan pilihan raya ketika krisis kesihatan seperti COVID-19 dan bencana alam. Ia memerlukan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri dan kesemua undang-undang berkaitan dengan pilihan raya.

Dalam hal ini, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) yang dibentuk pada Ogos 2018 telah mengemukakan 49 syor bagi membolehkan pilihan raya diuruskan dengan lebih efektif dan adil kepada setiap pemegang taruh dalam pilihan raya demokrasi.

Di bawah undang-undang negara, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan sekiranya mandat semasa hanya tinggal dua tahun.

Semalam genap tiga tahun PRU-14 selesai berlangsung manakala mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-14 hanya berlangsung pada 16 Julai 2018.

Bermakna ada lagi dua bulan sebelum tempoh mandat berbaki dua tahun itu berakhir. Sejak akhir tahun lalu empat pilihan raya kecil telah dibatalkan dan ditunda ekoran Proklamasi Darurat.

Ini kali pertama beberapa pilihan raya kecil dibatalkan dan ditunda atas nama darurat dan ekoran keadaan-keadaan yang tidak dapat dielakkan, yang diakibatkan oleh impak pandemik COVID-19.

Tempoh selepas PRU14 juga menyaksikan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan peruntukan kelayakan mengundi dan menjadi calon baharu diperkenalkan, iaitu 18 tahun.

Beberapa negeri turut telah mengambil langkah yang sama bagi meminda Perlembagaan masing-masing.

Sebanyak enam negeri telah berbuat demikian sehingga akhir tahun lalu. SPR dalam kenyataan media dua bulan yang lalu mengatakan bahawa pihaknya memerlukan masa untuk melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik, yang awalnya dijangka untuk dilaksanakan tahun ini, ditunda sehingga September 2022.

Bagaimanapun, mereka yang berumur 18 tahun boleh menjadi calon dalam saingan peringkat Dewan Rakyat dan di beberapa negeri.

Pilihan raya kecil Tanjung Piai pada akhir 2019 telah menyediakan peluang itu. Pengumuman SPR itu telah mengundang polemik terbaharu dalam landskap pilihan raya.

Ketika kerajaan pimpinan PN melengkapkan tahun pertama pentadbiran, UMNO dilihat memberi kata dua kepada kerjasama politik.

Parti itu telah memutuskan kerjasama politik bersama PN hanya bersifat sementara iaitu sehingga Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU-15. Bulan Ogos ini akan menjadi penentu sama ada kerjasama politik itu akan diteruskan atau sebaliknya.

Sehingga Ogos ini, Muhyiddin telah mengumumkan bahawa tidak akan ada apa pilihan raya ekoran Proklamasi Darurat.

Meskipun sudah tiga tahun ketika memasuki pasca-PRU14, penjajaran baharu politik terus menjadi bahan perbualan dan perbincangan. Kestabilan muktamad belum kelihatan.

Perkembangan sepanjang tiga tahun lalu telah membawa kepada keperluan untuk mengkaji undang-undang dan sistem pilihan raya negara, termasuk peruntukan dalam Perlembagaan.

Keperluan ini dilihat penting bagi menyuburkan lagi semangat demokrasi, terutama dalam landskap pilihan raya demokrasi.

* G Manimaran merupakan pengamal media dan penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang dan Tadbir.

Genap 3 tahun BN jatuh, rakyat kena tipu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker