Bursa : Pelabur asing terus jual saham tempatan


KUALA LUMPUR: Pelabur asing di Bursa Malaysia berada dalam mod penjualan minggu lalu walaupun pada kadar yang lebih perlahan dengan menjual sejumlah RM336.4 juta bersih ekuiti tempatan berbanding RM376.5 juta seminggu sebelumnya.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim,

berkata bursa tempatan memulakan minggu urus niaga minggu lalu agak getir dengan dana asing mengambil keputusan mengeluarkan sejumlah RM153.2 juta bersih ekuiti tempatan pada hari Isnin kerana bimbang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpotensi menguasai pasaran memandangkan ia boleh memberi kesan kepada trajektori pertumbuhan ekonomi.

Momentum untuk aktiviti penjualan bersih asing menurun dengan ketara kepada RM1.4 juta pada Selasa dengan pelabur memantau tanda-tanda pemulihan daripada pandemik COVID-19 ketika ekonomi utama di seluruh dunia dibuka semula, kata Adam.



“Walaupun begitu, pelabur antarabangsa kembali cergas dengan menjual RM155.4 juta bersih ekuiti tempatan pada hari Rabu selepas ‘mencerna’ pengumuman kerajaan untuk menguatkuasakan semula PKP di enam daerah Selangor termasuk Hulu Langat dan Petaling mulai 6 Mei hingga 17 Mei untuk membendung peningkatan penularan di negeri ini, ” katanya kepada Bernama.

Pada hari Rabu, setelah pasaran ditutup, larangan pergerakan diperluas untuk merangkumi Johor Bahru dan juga Kuala Lumpur, mulai hari Jumaat.

Adam berkata, penjualan bersih asing berterusan pada Khamis tetapi pada kadar sederhana RM38.3 juta dengan pelabur mengambil petunjuk daripada harga komoditi yang berada di paras tertinggi dalam tempoh bertahun-tahun.

“Pelabur kembali kepada mod pembelian pada Jumaat dengan membeli RM11.9 juta bersih ekuiti tempatan, sekali gus menghapuskan jualan bersih asing selama tujuh hari di Bursa Malaysia. Kegiatan membeli ketika harga saham murah turut dilihat membabitkan kaunter sarung tangan getah terutama dalam persekitaran kemunculan semula kes COVID-19 di seluruh dunia,” tambahnya.



Kenaikan harga minyak sawit mentah juga menyebabkan beberapa minat belian di kaunter perladangan seperti Sime Darby Plantation, menjadikannya antara kaunter paling untung dalam kalangan kaunter KLCI, tambah beliau.

Sejak awal tahun sehingga kini, Malaysia menyaksikan aliran keluar bersih asing sebanyak RM3.2 bilion pada 2021.

Sementara itu, MIDF Research menyatakan secara kumulatif sejak awal 2021, peruncit adalah satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti Malaysia yang bernilai sehingga RM6.33 bilion dengan institusi tempatan dan pelabur asing pula adalah penjual bersih dengan aliran keluar, masing-masing -RM3.13 bilion dan -RM3.21 bilion.

Dari segi penyertaan, pelabur runcit mencatat penurunan mingguan -10.23 peratus sementara institusi tempatan dan pelabur asing mencatat kenaikan mingguan masing-masing +13.77 peratus dan +24.08 peratus dalam purata nilai dagangan harian. Bernama



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker