Penggal Kepala Untuk Ritual
Abuja: Akibat taasub kepercayaan karut, seorang pemuda di Nigeria tergamak memenggal kepala dan tangan seorang lelaki.
Malah, dia dengan selamba membawa anggota badan mangsa yang baru dipenggal itu di dalam sebuah beg ketika menaiki bas di negara itu.
Memetik Newsweek, ia terbongkar selepas pasukan polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah bas dinaiki suspek di Kwara, pagi Isnin lalu.
Ketika itu, polis menemui kepala dan tangan mangsa di dalam beg yang dibawa suspek.
Ketika dibawa ke kenderaan polis, rakan suspek sempat melarikan diri.
Jurucakap polis di Kwara, Ajayi Okasanmi mengesahkan, suspek dikenal pasti sebagai Kehinde John Moses, 24.
Hasil siasatan, suspek mengaku membunuh mangsa, Mohammed dari Ajase Ipo bersama rakannya bagi tujuan satu ritual.
Susulan kejadian, suspek memaklumkan lokasi pembuangan badan mangsa.
Selepas ditemui, pihak berkuasa menghantar badan mangsa ke hospital bagi tujuan bedah siasat.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Bagega mengarahkan jabatan penyiasatan jenayah negeri Kwara menyiasat kes terbabit.
Sumber: Sun News Online