Kajian membuktikan inilah manfaat waktu pagi kepada manusia


Ajaibnya waktu pagi ini umpama bumi baru mula bernafas. Terasa segar sekali kandungan udaranya.

Jika kita merujuk kajian yang dilakukan, antara rahsia Allah S.W.T. menyuruh kita bangun pada waktu subuh, bagi mendirikan solat kerana, pada waktu itu keadaan alam semesta, berada di dalam spektrum warna biru muda, bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisme tubuh.

Justeru itu, warna tersebut mempunyai rahsia tertentu berkaitan dengan penawar, rezeki dan komunikasi. Apabila kita tidak bangun pada waktu tersebut secara berulang-ulang kali, lama-kelamaan kita akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ia kerana tenaga alam tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum, iaitu terjaga.



Kita juga mungkin biasa mendengar orang-orang tua mengatakan pintu rezeki akan tertutup sekiranya lambat bangun pada waktu pagi. Ini juga ada asas kebenarannya, terutama bila ia dikaitkan dengan kajian di atas.


waktu pagi terkait dengan rezeki, kesihatan dan komunikasi

Sudah menjadi kelaziman, pagi adalah waktu yang sangat sesuai untuk keluar mencari rezeki.

Tenaga alam pada waktu tersebut berada dalam keadaan optimum. Bermakna jika kita masih berlingkar lagi dalam selimut, maka tubuh kita tidak menyerap dan memperoleh tenaga yang diperlukan tubuh secara optimum juga.



Kesan dari itu mungkin menyebabkan tubuh menjadi lemah dan kurang bersemangat. Secara tidak langsung ia memberi kesan untuk rezeki datang bertandang.

Perumpamaannya, jika seorang peniaga itu membuka kedainya lewat sehingga matahari sudah tegak di kepala, dan memulakan tugas dalam keadaan yang tidak bermaya, besar kemungkinannya, akan membantutkan kehadiran pelanggan masuk ke dalam kedai.

Apatah lagi bila melihat keadaan peniaga yang lemah dengan serba tidak bermaya, perasaan untuk membeli pun menjadi kurang.

Menurut Ibn Qayyim dalam kitab Miftah Daris Sa’adah, tidur yang banyak dapat mematikan hati, bersifat lalai, membuat badan merasa malas dan membazir waktu. Pagi hari bagi seseorang itu seperti waktu muda, dan akhir harinya seperti waktu tuanya.



Dan amalan seseorang pada waktu muda berpengaruh terhadap amalannya di waktu tua. Jadi jika seseorang di awal pagi sudah menjadi malas dengan sering tidur, maka pada waktu petangnya juga dia menjadi malas.

Menghalang rezeki

Di dalam kitab Zaadul Maad pula menyatakan, empat perkara yang menghalang rezeki ialah tidur di waktu pagi, sedikit solat, malas dan berkhianat. Malah dengan tidur pada waktu pagi juga menyebabkan penyakit badan termasuk melemahkan syahwat.

Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang begitu gemar memanfaatkan kelebihan waktu pagi. Begitu juga dengan para sahabat dan alim ulama. Mereka percaya, waktu pagi adalah waktu yang mempunyai keberkatan dan kebaikannya yang tersendiri. Ini kerana, waktu pagi telah didoakan secara khusus oleh Nabi s.a.w. yang bersabda,



“Ya Allah, berkatilah umat ku di waktu paginya.” – HR Tirmizi

Adapun menurut kitab Maktabah Syamilah, Nabi s.a.w. mendoakan pagi sebagai sesuatu yang mempunyai keberkatannya kerana, pagi adalah waktu yang biasa digunakan oleh setiap manusia untuk memulakan sebarang aktiviti dan mencari rezeki, sebagaimana petikan dari Surah an-Naba’ ayat 11 berbunyi,

“Dan Kami menjadikan siang untuk mencari rezeki.”

Waktu pagi juga, adalah waktu di mana manusia berada di dalam keadaan bersemangat, sesudah semalaman merehatkan tubuh badan. Firman Allah surah al-An’am: 96,



“Dia menyingsingkan waktu pagi, dan menjadikan waktu malam untuk beristirahat.”

Begitulah Allah S.W.T. mengarahkan manusia untuk membentuk jadual putaran hidup waktu dengan baik dan tepat. Pada ketika yang sama juga, Allah S.W.T. mengingatkan kepada manusia supaya tidak terleka dalam aktiviti kerja mereka sepanjang hari siang, dan terbuai dengan istirahat di sepanjang malam.

Pelbagai ganjaran telah disediakan Allah S.W.T. kepada hamba Nya yang merebut manfaat di pagi hari, sama ada sebelum fajar menyingsing atau selepasnya. Kesemua ganjaran itu jelas menunjukkan bahawa Allah begitu menyayangi hamba-Nya, dengan syarat mereka beriman dan melakukan amal kebajikan.

Dikurniakan kesihatan



Kepada mereka yang memanfaatkan waktu pagi, mereka diberikan pengampunan dan ganjaran pahala di akhirat nanti. Manakala di dunia, mereka ini dikurniakan kesihatan, dibekalkan tenaga, kekuatan, kecergasan dan terhindar daripada penyakit.

Berdasarkan kepada firman Allah S.W.T. surah al-Dzaariyat: 17 dan 18 menyebutkan,

“Di dunia mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam. Dan selalu memohon ampunan pada waktu pagi sebelum fajar.”

Dari itu, mohonlah keampunan sebanyaknya, kerana waktu itulah pengampunan Allah sangat dekat bersama manusia.

Z.R. Kime dalam bukunya bertajuk “Sunlight Could Save Your Life” menyatakan, cahaya matahari sebelum pukul sembilan pagi sangat bermanfaat pada kulit, kerana pada waktu tersebut, kulit tidak mendapat sinar gelombang pendek (ultra violet, sinar gama, sinar X, sinar kosmos) tetapi lebih banyak mendapat sinar gelombang panjang atau inframerah.

Dari sudut sains pula menyatakan, kandungan gas ozon dalam udara pada waktu pagi, adalah tertinggi, berbanding waktu yang lain. Manakala sinar matahari yang memancar pada waktu pagi, dapat menghasilkan vitamin D, yang diperlukan tubuh.


Matahari pagi sangat bermanfaat pada kesihatan diri

Selain itu, mentari pagi juga didapati mampu mengurangkan kolesterol, dan gula dalam darah. Ini menjadikan tubuh kita berada dalam keadaan sihat.

Menurut Benjamin Franklin, seorang pemimpin Revolusi Amerika,

“Tidur lebih awal dan bangun di awal pagi membuatkan seorang lelaki itu lebih sihat, kaya dan bijaksana.”

Kata-katanya itu ada benarnya. Orang yang berjaya tidak menjadikan pagi sebagai waktu untuk bermalas-malas, tetapi sebagai medan untuk memulakan usaha bagi mencapai kejayaan.

Hakikatnya, terdapat pelbagai manfaat, yang boleh dikecap bagi mereka yang menjadikan waktu pagi sebagai waktu untuk berusaha. Tetapi bagi mereka yang tetap leka, dan asyik dengan tidur sahaja, maka mereka ini termasuk dalam kalangan orang-orang yang sia-sia. Wallahu a’lam.

50,000 pengguna pilih aplikasi Mindful Muslim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker