Mitsubishi pecah rekod jualan di Malaysia


KUALA LUMPUR: Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan jenama Mitsubishi Motors di Malaysia, merekodkan prestasi jualan bulanan tertinggi dalam sejarah apabila menjual 1,872 unit pada April.

Prestasi jualan bagi bulan dikaji adalah kesinambungan momentum sejak Januari dan mengukuhkan kedudukan antara tiga jenama utama dalam segmen bukan jenama nasional bagi empat bulan berturut-turut.

Model Mitsubishi XPANDER terus mendominasi segmen kenderaan pelbagai guna (MPV) bukan nasional sejak Januari dan terus mencatatkan jumlah jualan kukuh dengan lebih 10,000 unit ditempah sejak dilancarkan pada November tahun lalu.

Bagi bulan dikaji, XPANDER menyumbang 982 unit merangkumi 52 peratus daripada jualan keseluruhan April. MMM sudah menyerahkan 3,800 unit kepada pembeli di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi, berkata prestasi jualan XPANDER yang kekal positif dengan permintaan ke atas model itu mendahului jumlah unit yang dibekalkan.

“Walaupun berdepan cabaran susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau PKP Bersyarat (PKPB), kami akan meneruskan usaha untuk memenuhi permintaan kukuh XPANDER dengan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan dalam masa sama mengekalkan kualiti produk pada tahap tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, trak pikap Mitsubishi Triton juga mengekalkan penguasaan pasaran yang kukuh iaitu hampir 20 peratus dan kekal sebagai pilihan dalam segmen berkenaan.

MMM menjual 680 unit Triton pada April dan menyerahkan 142 unit Triton Athlete baharu kepada pelanggan.

“Walaupun terdapat penurunan dalam kebanyakan sektor ekonomi dan sentimen juga mula mempengaruhi orang ramai akibat pandemik, kami lega melihat penjualan kami tetap optimis dan terus bergerak ke arah positif.

“Kami sedar bahawa sebilangan besar pelanggan berhasrat untuk membeli kereta mereka sebelum pengecualian cukai jualan berakhir pada akhir Jun.

“Walaupun menghadapi cabaran kekangan bekalan, MMM berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi harapan pelanggan terhadap pilihan penghantaran,” tambah Shinnishi. BH

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker