‘Beri Kami Sokongan’-DOLLA
Walaupun di awal kemunculan kumpulan Dolla pada sekitar tahun lalu pernah dipalit dengan tempias dilabel ‘jelmaan’ BLACKPINK, namun kini segala dakwaan itu mampu disangkal mereka.
Dianggotai empat wanita cantik dan seksi iaitu Wan Sabrina Wan Rusli atau dikenali, Sabronzo, Noorsyasya Afiqah Shahrizal (Syasya), Tabitha Ariel Lam Lianne (Tabby) dan Angelina Chai (Angel), kumpulan ini sudah menghasilkan empat lagu.
Bermula dengan lagu Dolla Make You Wanna yang dilancar pada Mac tahun lalu, kumpulan ini tidak menunggu lama untuk mempertaruhkan single kedua mereka iaitu Impikan pada Oktober pula.
Menerusi lagu Impikan itu, Dolla turut menerbitkannya dalam bahasa Inggeris dengan judul, Watch Me Glow yang dilancarkan pada 6 November tahun lalu. Ternyata, dalam tempoh kurang setahun Dolla berjaya memahat nama dan bakat mereka ke tahap agak tinggi.
Terbaharu, untuk tahun ini Dolla terus tampil mempertaruhkan lagu raya mereka berjudul Raya Raya Raya. Lagu ini hasil ciptaan bersama beberapa komposer dan penulis lirik seperti Kalerj, Ajay Amai, Mike Chan, Glow Rush, Nick Arif, Acap Salim dan Somean K-Clique.
Berbicara mengenai lagu istimewa meraikan Aidilfitri itu, Syasya berkata Dolla menganggapnya sebagai rezeki mereka. Katanya, tak sangka dapat juga Dolla mempunyai lagu raya sendiri.
“Apabila mendapat peluang rakamkan lagu Raya Raya Raya ini, kami gembira kerana rezeki datang awal meskipun Dolla masih baharu dalam industri hiburan. Kami masih giat lagi menimba ilmu dan pengalaman ke arah lebih baik.
“Bagaimanapun, lagu Raya Raya Raya ini lebih menjurus pada kisah kami berempat dalam membuat persiapan untuk meraikan hari raya masing-masing. Justeru, lagu ini boleh dikata ‘persiapan’ raya dari Dolla,” katanya ditemui selepas majlis pelancaran, baru-baru ini.
Mengulas juga tindakan salah seorang anggota Dolla mengetengahkan imej seksi dalam video muzik lagu Raya Raya Raya berkenaan, Sabronzo pula berkata mereka percaya peminat dan penonton boleh faham serta tidak menjadikannya isu.
“Setiap lagu dibawakan Dolla, seboleh-bolehnya kami berempat cuba mengajak peminat dan penonton untuk sentiasa berfikiran positif. Malah, yang penting bagi kami ialah mesej lagu itu dapat disampaikan.
“Kami juga sudah membuat terbaik untuk video muzik lagu Raya Raya Raya ini. Malah, lirik lagunya juga tidak menyimpang daripada mesej yang nak kami sampaikan kepada pendengar,” katanya.
Bagi Syasya pula, imej seksi yang ditampilkan Angel itu sedikit sebanyak melambangkan semua anggota Dolla. Katanya, ia berikutan pada kebanyakan masa imej berkenaan sekadar menunjukkan diri mereka sendiri.
“Dari segi penampilan, memang begitulah seadanya, kami kumpulan Dolla. Saya harap ia dapat difahami oleh semua orang dan usah cuba menjadikannya sebagai isu. Berilah sokongan anda kepada lagu kami, Raya Raya Raya ini.
“Malah, saya juga berharap lagu ini dapat membawa kenangan manis pada kita semua sewaktu meraikan Aidilfitri nanti. Walaupun, negara kini masih berjuang melawan penularan Covid-19, tapi nikmat hari raya wajar untuk kita syukuri,” katanya.
Sehubungan itu, video muzik lagu Raya Raya Raya yang dimuat naik di platform YouTube Dolla sekitar lima hari lalu, sudah mencatat lebih 536,000 tontonan dan menerima lebih 21,000 komen. Malah, video muzik itu turut mencatat ‘trending’ nombor empat di YouTube Malaysia.
Lukisan mural Dolla
Populariti Dolla yang kini memuncak, turut memberi peluang kepada mereka mendapat kerjasama daripada syarikat terkenal. Malah, menariknya Dolla turut mendapat penghargaan apabila wajah mereka diabadikan dalam lukisan mural.
Menurut Tabby, lukisan mural berkenaan terletak di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur. Katanya, ia betul-betul berada di tengah bandaraya dan antara kawasan tumpuan orang ramai.
“Sejujurnya, kami (Dolla) sangat berbesar hati dengan peluang yang diperoleh ini. Ia satu penghargaan sangat bermakna buat kami yang baru lebih setahun aktif dalam kerjaya nyanyian. Tak sangka, kami menjadi artis pilihan untuk foto di abadi sebagai mural.
“Terus-terang, kami sangat berpuas hati dengan hasil mural dilukis, Lowkey. Bagi kami, dia (Lowkey) sangat berbakat dan mampu melukis mural yang cantik. Terima kasih diucapkan,” katanya.
Berbicara juga mengenai Ramadan, Angel berkata walaupun dia dan Tabby menganut Kristian, tapi mereka menghormati Sabronzo dan Syasya yang harus menunaikan puasa. Katanya, dia dan Tabby juga ada belajar berpuasa.
“Bukan mudah nak puasa sebab lapar dan dahaga. Tapi, kami tetap mencuba. Walaupun tak berhasil, tapi kami masih cuba lakukannya kerana Dolla selalu bersama dalam segala hal,” katanya.
Angel berkata dia juga ingin mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada semua peminat Dolla. Ujarnya, terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana rantaian pandemik masih lagi belum putus.-HM
Saya sokong dolla dari blackpink
Saya lebih suka dolla