MB: Ujian saringan percuma di seluruh Selangor



Sebaran :


Susulan peningkatan kes Covid-19, Kerajaan Selangor mengambil keputusan untuk melaksanakan sistem pengawasan melalui konsep pengesanan kes aktif Covid-19 di semua 56 DUN seluruh Selangor.

Mengumumkan perkara ini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata ujian saringan akan dilaksanakan secara percuma di seluruh negeri.

“Program saringan Covid-19 ini akan berlangsung bermula 8 Mei 2021 di DUN Kajang dan DUN Semenyih dan akan berlangsung sehingga 10 Jun 2021 yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor.



“Saringan percuma ini akan dilaksanakan di dua DUN setiap hari dan akan meliputi 56 DUN yang terletak di dalam negeri Selangor.

“Program ini akan memberi manfaat dan peluang kepada rakyat negeri Selangor yang berisiko, pernah menjadi kontak dengan pesakit Covid-19, bergeala dan juga rakyat yang bimbang dengan status mereka,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Perkara yang amat membimbangkan, kata Amirudin adalah apabila rakyat Selangor yang dijangkiti Covid-19 tetapi tidak mengetahuinya, atau diistilahkan sebagai pembawa senyap.



“Mereka ini adalah golongan tidak bergejala dan sihat.

“Golongan ini amat merisaukan kerana mereka boleh menularkan dan menjangkiti kumpulan yang berisiko tinggi,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob memaklumkan enam daerah di Selangor – Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang – dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 6 ke 17 Mei.



Sehubungan itu, kata Ismail Sabri pergerakan merentas negeri dan daerah tidak dibenarkan di enam daerah dikenakan PKP di Selangor.

Pun begitu, dia berkata pengecualian rentas daerah dan negeri di kawasan PKP ini dibenarkan untuk kes kecemasan seperti kes kematian.

Menurutnya, keputusan itu diambil kerana daerah-daerah di Selangor menyaksikan peningkatan mendadak kes Covid-19.



Tiga daerah selebihnya – Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor – akan terus diletakkan bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB). Mk

Laksana segera PKP 3.0 – Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar


Sebaran :


Leave a Reply