Lelaki positif COVID-19 lari dari wad, SB turut digerak mencari
KENAPA larikan diri setelah didapati positif COVID-19?
Ini yang berlaku terhadap seorang pesakit COVID-19 di wad Hospital Lama Sungai Petani, semalam.
Tindakan individu berusia 39 tahun itu telah menambah satu lagi tugas polis untuk menjejakinya pula.
Semua elemen kini digerakkan polis dari pasukan di Sekatan Jalan Raya (SJR) sehinggalah Cawangan Khas hanya bagi mencari lelaki tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, individu itu dipercayai melarikan diri pagi semalam.
“Pasukan petugas khas turut digerakkan untuk mencari pesakit terbabit di rumahnya di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang namun mendapati dia tiada di rumah,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki terbabit menjalani rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim bagi pembedahan kecil pada tangannya yang bernanah, Khamis lepas.
“Ujian calitan COVID-19 dijalankan terhadap lelaki itu dan dia didapati positif, Jumaat lepas, dan kemudiannya dikuarantinkan di wad B1 Hospital Lama Sungai Petani.
“Difahamkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga masih menyiasat kontak rapat lelaki terbabit,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Terengganu terus catat kebolehjangkitan COVID-19 tertinggi
Menurut Adzli, lelaki itu sudah berada di wad berkenaan selama enam hari dan kehilangannya disedari seorang jururawat yang bertugas kira-kira pukul 8.45 pagi semalam, selepas mendapati dia tiada di katil.
“Ada pesakit lain mendakwa melihat lelaki terbabit keluar dari wad tersebut kira-kira 6.30 pagi semalam dengan membawa bersama beg dan barangan peribadinya,” katanya.
Adzli berkata kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 11(3)(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu dimohon menghubungi balai polis berhampiran atau KKM. Utv