Jumpa di mahkamah, Mahathir beritahu bekas KPN



Sebaran :


PETALING JAYA: Jumpa di mahkamah, Mahathir beritahu bekas KPN. Dr Mahathir Mohamad bersedia menghadapi tindakan saman RM10 juta oleh Khalid Abu Bakar dalam mempertahankan dakwaannya terhadap bekas Ketua Polis Negara itu baru-baru ini.

Dalam wawancara dengan sebuah laman berita bulan lalu, Mahathir mendakwa usaha untuk mengambil tindakan terhadap Najib Razak semasa beliau perdana menteri gagal dilakukan kerana Khalid “membocorkan” maklumat kepada Najib.

Dalam catatan di Twitter hari ini, Mahathir berkata beliau menerima notis saman daripada peguam Khalid dan peguamnya akan mengambil tindakan susulan.



“Saya akan jumpa dia (Khalid) di mahkamah,” kata Mahathir.

Sebelum ini, Khalid memberi Mahathir tujuh hari untuk memohon maaf secara terbuka atas kenyataannya yang disifatkannya berunsur fitnah.

“Saya beri Mahathir tujuh hari untuk membuat permohonan maaf dan menarik balik semula kenyataannya,” Khalid dilaporkan berkata.



“Jika gagal, saya akan arahkan peguam saya meneruskan tindakan saman kerana memfitnah.”

Kenyataan Mahathir yang disiarkan laman berita itu pada 16 April lalu bertajuk “Khalid Abu Bakar bocor rancangan pada Najib”.

Antara kandungannya yang didakwa memfitnah Khalid adalah “Tindakan ke atas Najib Razak gagal dilaksanakan lebih awal kerana dibocorkan oleh Ketua Polis Negara waktu itu Khalid Abu Bakar, dakwa Dr Mahathir Mohamad”.



“Perdana Menteri ketujuh itu mendedahkan demikian sewaktu menjelaskan komunikasi beliau dengan Zeti Akhtar Aziz sewaktu bekas penasihat kerajaan itu masih menjadi Gabenor Bank Negara,” lapor laman berkenaan.

Khalid sebelum ini mengarahkan firma guaman Gunaseharan & Linda menghantar notis tuntutan kepada Mahathir pada 22 April lalu bagi menuntut beliau membuat permohonan maaf terbuka secara bertulis dalam portal berita itu dan media sosialnya seperti Facebook, Instagram dan sebagainya.

Mahathir juga dikehendaki membuat akujanji tidak mengulangi kenyataan sama secara lisan atau bertulis di mana mana saluran media penyiaran, serta menarik semula kenyataan palsu bersifat fitnah.



Menurut firma itu, sekiranya gagal memenuhi segala tuntutan berkenaan, Mahathir akan berdepan saman RM10 juta. FMT

 

Jangan lupa like FB MYKMU

Khalid Abu Bakar Saman Mahathir RM10 Juta


Sebaran :


Leave a Reply