Dakwaan ada warganegara India tiba di Malaysia, MAS buat dua laporan polis


MALAYSIA Airlines (MAS) membuat dua laporan polis terhadap dua akaun Facebook yang mendakwa ada warganegara India tiba di negara ini dengan pesawat MH191.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr.Wee Ka Siong berkata, beliau sudah menyemak dakwaan tersebut dan mendapati ia fakta tidak tepat.

‘’Tiada penerbangan seperti yang didakwa dan pesawat MH191 merupakan penerbangan kargo. Kenyataan yang dibuat adalah meragukan kerana sememangnya tidak ada mana-mana majikan swasta yang boleh mengambil sesiapa sahaja untuk dihantar ke pusat kuarantin. Sebaliknya segala urusan tersebut di bawah kendalian NADMA,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, selaras dengan arahan kerajaan, Malaysia Airlines tidak membawa penumpang dari India dan kenyataan tidak bertanggungjawab yang telah dikeluarkan oleh pemilik akaun FB itu telah menyebabkan keresahan, panik dan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia secara umumnya.

‘’Apa yang jelas, tiada individu bernama Ajit Prasat dalam penerbangan MH191 sebagaimana yang didakwa. Hentikanlah penyebaran khabar angin atau berita palsu sedemikian.

‘’Justeru itu dua laporan polis telah dibuat bagi memastikan orang ramai tidak terkeliru dengan dakwaan tidak berasas yang cuba menimbulkan keresahan awam,’’ katanya.

Sementara itu MAS dalam satu kenyataan menyifatkan dakwaan tersebut bukan sahaja menjejaskan reputasinya tetapi juga kredibiliti negara dalam membanteras penularan Covid-19.

‘’Lanjutan itu kami membuat dua laporan polis terhadap dua individu bernama Wan Hilimi Wan Mohd Nor Hilmi dan Muhammad Fahmi Abdullah berikutan dakwaan tidak benar mereka,’’ katanya.

Sebelum itu Ka Siong berkata, semua penerbangan Malaysia Airlines dari India seperti didakwa tular dalam media sosial bukan penerbangan penumpang.

Sebaliknya kata beliau ia hanya penerbangan kargo dari India yang dibenarkan memasuki Malaysia pada masa ini.

Menurut Ka Siong, semua penerbangan penumpang dari dan ke India telah dilarang memasuki Malaysia selari dengan arahan kerajaan selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada 28 April lalu.

Beliau berkata, penerbangan pesawat penumpang juga kosong dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier. Utv

Hanya penerbangan kargo dari India dibenarkan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker