Pengunjung bazar Aidilfitri Jalan TAR tak endah penjarakan fizikal


Penjarakan fizikal masih menjadi perkara yang sukar untuk dipatuhi oleh pengunjung bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini.

Tinjauan BH mendapati, biarpun pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka dan beratur sebelum memasuki bazar, namun masih gagal mengekalkan jarak satu meter antara satu sama lain.

Selain itu, ada juga pengunjung membawa anak kecil beratur dalam keadaan rapat sehingga ditegur anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melakukan rondaan bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

Peniaga baju raya, Muhammad Mukhriz Muhd Idris, berkata langkah penganjur bazar mengehadkan kemasukan pengunjung membolehkan SOP antara pengunjung dan peniaga dapat dipatuhi.

“Bila ada had, untuk masuk laluan di dalam bazar ini tidak sesak cuma ramai terpaksa beratur panjang di pintu masuk untuk menunggu giliran.

“Jadi kadang-kadang bila perlu menunggu lama, mereka lupa mengenai penjarakan fizikal,” katanya ketika ditemui.

Peniaga kosmetik dan biskut raya, Azlina Alimunar, berkata pandemik COVID-19 menyebabkan bazar Jalan TAR tidak semeriah seperti dulu.

“Sebab ada SOP pengunjung perlu beratur, bazar di sini pula ada empat bahagian, jadi setiap kali nak masuk salah satu bahagian perlu beratur.

“Jadi apabila sudah beratur lama di salah satu pintu masuk, ada pengunjung yang tidak pergi ke bahagian lain sebab malas nak ulangi SOP sama, akhirnya peniaga yang terkesan kerana kekurangan pengunjung membuat pembelian,” katanya.

Sebelum ini, penganjur bazar Aidilfitri Jalan TAR diarah memperkemaskan SOP, termasuk menghantar laporan harian kepada Kementerian Wilayah Persekutuan berhubung perjalanan operasi di situ.

Arahan dikeluarkan susulan tersebar beberapa gambar dan video memaparkan kesesakan orang ramai yang ingin memasuki bazar Aidilfitri Jalan TAR sehingga mengabaikan SOP, termasuk penjarakan fizikal.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini dilaporkan, berkata arahan itu antara lain turut meminta penganjur memperbanyakkan kehadiran pihak berkuasa seperti anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). BH

Lamb shank Chef Ammar, nasi kandar Jitra Mai paling laris di Bazar Stadium Shah Alam

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker