AstraZeneca ditawar sukarela di seluruh negara


Pemberian vaksin AstraZeneca secara sukarela yang dibuka bermula semalam, akan diperluaskan ke seluruh negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata berdasarkan pendaftaran mendapatkan vaksin jenis itu yang menyaksikan semua 268,800 dos dipenuhi dalam tempoh tiga jam semalam, pihaknya akan memperluaskan tawaran ke seluruh negara.

Katanya, ia bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak mempunyai akses kepada internet dan laman sesawang diiklankan.

Beliau berkata, Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) menjangkakan lebih banyak vaksin jenis AstraZeneca tiba dalam bulan mendatang, dengan sejumlah 1.1 juta tempahan kedua dari fasiliti COVAX akan diperoleh bulan ini.

Katanya, ia akan terus ditawarkan secara pengambilan sukarela.

“Program pertama yang dibuka semalam hanya untuk Selangor dan Kuala Lumpur tetapi saya menyedari ia memberi cabaran kepada mereka yang tidak mempunyai akses kepada internet dan laman sesawang yang dinyatakan.

“Pada masa depan, kami akan mengambil kira mereka yang tidak mempunyai akses ini dan mendekati klinik komuniti bagi memastikan vaksin ini dapat ditawarkan secara sukarela,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Khairy berkata, penawaran secara sukarela bagi vaksin jenis itu dibuat selepas pihaknya mendapati sehingga 8,000 individu yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), membatalkan pendaftaran masing-masing selepas mengetahui AstraZeneca antara vaksin ditawarkan.

Katanya, ada juga yang tidak hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) untuk menerima suntikan masing-masing.

“Selepas kerajaan mengumumkan pemberian AstraZeneca dibuat secara sukarela, sehingga 80 peratus mereka yang membatalkan pendaftaran kembali mendaftar melalui PICK.

“JKJAV akan menilai semua pembatalan itu dengan mendalam dan laporannya akan diumumkan kelak,” katanya. BH

Tak sampai empat jam, 268,000 vaksin AstraZeneca sudah habis ditempah – KJ

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker