Hanya sebilangan kecil guru agama anti vaksin, kata timbalan menteri
LABUAN: Hanya sejumlah kecil guru agama terlibat dalam kempen anti vaksin dan usaha berterusan sedang diambil untuk mengatasi isu ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuq Shaary.
“Kami ada mendengar kakitangan agensi dan jabatan tertentu di bawah Jabatan Perdana Menteri yang antivaksin dan kami akan memainkan peranan supaya semua kakitangan jabatan ini mengambil vaksin.
“Rakyat Malaysia yang tidak mengambil vaksin boleh membahayakan orang lain.
“Saya ingin menasihatkan warga Malaysia secara amnya supaya mematuhi gesaan kerajaan untuk mengambil vaksin kerana ia membantu mengurangkan jangkitan,” katanya semasa berucap pada majlis ramah mesra bersama anak yatim dan asnaf di Kompleks Darul Kifayah semalam.
Ahmad Marzuq berkata, peratusan pendaftaran Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 yang masih rendah di sesetengah negeri adalah kerana faktor tertentu, bukan semata-mata guru agama.
“Bagi kami, risiko selepas mengambil vaksin seperti yang ditularkan dan dikongsi tidak tepat.
“Saya telah melengkapkan dos kedua dan saya rasa lebih sihat. Mereka yang enggan mengambil vaksin tidak perlu mempengaruhi orang lain,” katanya.
Ahmad Marzuq berkata, mereka yang masih belum mendaftar untuk vaksinasi dinasihatkan berbuat demikian dengan segera, bukannya pada saat akhir bagi mengelakkan mereka perlu menunggu giliran untuk tempoh yang lama.
You must be logged in to post a comment.