Adakah Hamzah dimaksudkan KPN guna jet peribadi, soal Ahli Parlimen Warisan
Seorang bekas timbalan menteri mempersoalkan sama ada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin adalah individu yang dimaksudkan oleh Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador ketika menyebut tentang orang yang kerap menggunakan jet peribadi ke Sabah.
Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman dari Warisan berkata, Hamzah antara pemimpin yang kerap melawat Sabah sebelum pilihan raya negeri diadakan.
“Adakah KPN merujuk kepada Hamzah Zainuddin yang mana umum mengetahui, lawatan Hamzah ke Sabah membawa kepada sidang media dan pengumuman pertama yang dibuat oleh dua orang YB pada masa itu, mengumumkan sokongan kepada Perikatan Nasional?” soal beliau dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada Limus Jury dan James Ratib, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Upko yang sebelum itu berada dalam gabungan kerajaan Sabah.
Azis mendakwa, Hamzah kemudian mengadakan beberapa siri lawatan ke Sabah menggunakan jet peribadi untuk bertemu dengan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman.
Selepas itu, tambah beliau, terdapat pembelotan besar-besaran oleh penyokong kerajaan yang beralih kesetiaan kepada Musa, mendorong ketua menteri ketika itu, Shafie Apdal, mengadakan pilihan raya di negeri itu.
Semalam, Hamid bercakap mengenai bagaimana beliau memerangi rasuah dalam pasukan polis, tetapi dalam politik, rasuah berlaku “di mana-mana”.
Kata beliau, dalam politik, pemimpin “mabuk kuasa dan sedia membeli orang lain dan mengugut (yang enggan dibeli)”.
“Bila ia membabitkan polis, mereka akan kata itu rasuah,” kata Hamid.
“Lihatlah tingkah laku orang politik. Naik jet peribadi, mana dapat duit naik ‘private jet’? Pergi ke seluruh Sabah dan tiba-tiba ada yang tukar sokongan.”
Aziz mendakwa, sebagaimana dilaporkan sebelum ini, terdapat usaha daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membeli dan mengugut wakil Warisan Plus.
Kata beliau, laporan polis sudah dibuat ADUN berkenaan yang didekati agen politik mengumpan untuk melompat parti.
Namun, katanya, tiada perkembangan berkenaan laporan itu setakat ini.
Azis, yang juga ketua Pemuda Warisan, juga bertanya sama ada Hamid turut merujuk kepada ugutan yang dibuat terhadap wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) untuk menyertai PN.
“Umum mengetahui beberapa kes rasuah melibatkan beberapa pemimpin daripada kalangan PH telah dimulakan. Tekanan diberikan dan akhirnya beberapa siri lompatan berlaku.
“Persoalannya, hasil daripada lompatan tersebut, tiba-tiba siasatan terhadap para pemimpin tersebut menjadi senyap.
“Adakah ini yang dimaksudkan KPN, ada ugutan dibuat?” soalnya.
Azis juga ingin mengetahui sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus menyiasat perkara ini susulan pendedahan serius yang dibuat Hamid.
“Kenyataan KPN tentang bagaimana ‘katak politik’ wujud ‘di sini’ ‘di sana’ perlu disiasat SPRM kerana selaku ketua pasukan polis, pastinya beliau tahu sesuatu yang wajar SPRM siasat,” kata beliau.
Tambahnya, sebagai bekas timbalan menteri dalam negeri, beliau bersetuju dengan saranan Hamid bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) perlu diketuai oleh seseorang yang mempunyai kredibiliti dan integriti, serta tidak dipengaruhi oleh kuasa politik. FMT
KPN hentam campur tangan Menteri KDN pada sidang media terakhir
orang politik macam azis jamban ni semua jenis munafik
bila adun2 tu pertama kali lompat sokong shafie afdal…
tak timbul pun dakwaan tak bermoral, tak berintegriti, kena beli, rasuah dsb