Rasuah, katak politik: Pemuda UMNO desak SPRM bertindak dakwaan KPN


PERGERAKAN Pemuda UMNO menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera bertindak dan serius tanpa takut dan berpihak terhadap dakwaan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai kaitan rasuah dengan budaya lompat parti di negara ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi DUSUKI berkata, langkah itu dapat menyelamatkan negara daripada berterusan dirundung persepsi buruk bukan sahaja rakyat tetapi masyarakat antarabangsa betapa bobroknya budaya rasuah politik yang mampu menjahanamkan Malaysia tercinta.

Menurutnya, dakwaan Ketua Polis Negara mengenai kaitan rasuah dengan budaya lompat parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini amat serius walaupun agak terlambat.

“Ia amat serius kerana didedahkan oleh seorang Ketua Polis Negara yang mengesahkan tanggapan umum bahawa Kerajaan PN hari ini banyak terpalit dengan pelbagai aktiviti jual-beli pemimpin politik untuk terus kekal berkuasa di kala rakyat sedang tenat bertarung nasib untuk kelangsungan hidup mereka seharian,” katanya di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi bagaimanapun berkata, pendedahan Abdul Hamid agak terlambat kerana beliau hanya bersuara ketika diambang pengakhiran kontrak beliau.

Beliau menegaskan, rasuah yang terkait dengan lompat parti sudah bermula di zaman Pakatan Harapan (PH) apabila ramai yang diugut dan ditekan dengan pelbagai kes mahkamah, cukai bahkan ditawar dengan pelbagai ganjaran untuk lompat parti menyertai PPBM bagi perkukuh Kerajaan PH.

“Malah ia diteruskan di zaman PN apabila ramai disucikan daripada pendakwaan dan penyiasatan bahkan secara terang-terangan merealisasikan agenda ‘Scheme of Thing’ yang dikaitkan dengan audio pemimpin tertinggi Kerajaan PN dengan pelbagai tawaran kedudukan dan posisi penting kabinet dan GLC.

“Walau bagaimanapun, sebelum ‘Nasi Menjadi Bubur’, amat wajar sekali pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengambil tindakan segera dan serius WITHOUT FEAR OR FAVOUR (tanpa takut dan berpihak) bagi menyelamatkan negara daripada berterusan dirundung persepsi buruk bukan sahaja rakyat tetapi masyarakat antarabangsa betapa BOBROKNYA BUDAYA RASUAH POLITK yang mampu menjahanamkan Malaysia tercinta,” tambahnya.

Semalam dalam sidang media terakhir Abdul Hamid, beliau meminta SPRM menyiasat unsur rasuah berhubungan perbuatan melompat parti di negara ini.

Jelasnya, beliau menentang rasuah dalam PDRM, namun pemimpin politik telah membudayakan rasuah.

“Saya lawan rasuah dalam pasukan, tapi saya tengok rasuah merata-rata dalam politik mabuk kuasa.

“Sekejap ‘katak’ melompat sana, sekejap berbunyi sana, apa itu? Rasuah,” katanya. Utv

[AUDIO] PANAS! Tular Rakaman Mirip Menteri KDN Berkaitan Skandal Pertukaran Jawatan Dalam PDRM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker