Lantik dan tukar polis: Pengakuan Hamzah perlu disiasat


Pengakuan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung pelantikan dan pertukaran polis adalah satu campur tangan politik keji yang melibatkan salahguna kuasa, demikian menurut Pejuang Muda Malaysia.

Ketua Penerangannya, Akif Rusli berkata, campur tangan Hamzah disifatkan demi menjaga kepentingan tertentu dan jelas berbentuk satu pengkhianatan kepada negara.

Katanya, pengakuan Hamzah perlu disiasat oleh pihak berkuasa dengan seadilnya kerana lantikan-lantikan tersebut diakui baik untuk beliau dan kumpulan-kumpulannya dan bukanlah demi kepentingan rakyat mahupun negara.

“Rakaman audio video tersebut menggambarkan bahawa wujud satu usaha campur tangan politik bagi merampas “command and control” daripada Ketua Polis Negara yang berhak untuk menyusun atur segala urusan pentadbiran tanpa sebarang campur tangan luar yang jelas boleh memberikan ancaman kepada keberkesanan tugas Sang Saka Biru sebagai benteng keselamatan rakyat,” katanya.



Hamzah Zainudin mengaku audio yang tular di media sosial berhubung pelantikan dan pertukaran polis adalah dirinya.

Bagi Hamzah, dia tidak bersalah kerana beliau hanya meminta Ketua Polis Negara memberi beberapa nama kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pejuang Muda cukup kesal dengan taktik licik politik Kerajaan PN-BN yang cuba mengambil kesempatan untuk mempergunakan jawatan atau kedudukan dalam pentadbiran kerajaan.

Bahkan, katanya, rancangan yang dibuat seperti dalam rakaman audio video itu adalah merupakan satu campur tangan politik khianat sehingga melibatkan percaturan politik dalam Pasukan Keselamatan Negara.



“Kami menzahirkan komitmen yang jitu dalam usaha membanteras sebarang bentuk salahguna kuasa dan apa jua amalan rasuah baik dari segenap lapisan masyarakat lebih-lebih lagi bilamana ianya melibatkan anggota pentadbiran dalam kerajaan itu sendiri.

“Wujud beberapa laporan polis dibuat oleh orang awam dan juga pimpinan Pejuang Muda bagi mendesak pihak berwajib untuk menjalankan siasatan secara holistik tanpa sebarang pengecualian terhadap latar belakang individu yang terlibat dan berniat jahat sekalipun Menteri Dalam Negeri itu sendiri,” kata beliau dalam kenyataan.

Justeru Pejuang Muda mendesak Hamzah digantung tugas sebagai Menteri Dalam Negeri semasa siasatan dijalankan bagi mengelakkan sebarang bentuk tekanan kepada pihak pasukan penyiasat. MD

Audio bocor : Kita nak tahu siapa perakamnya – Hamzah



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker