Bakal Dibuka Tak Lama Lagi! Taman Tema Genting SkyWorlds Sedang Mencari 1,500 Individu Berbakat

Baru-baru ini Resorts World Genting, telah mengumumkan pembukaan taman tema luar baharu yang dinanti-nantikan.  Taman Tema Genting SkyWorlds menjanjikan suatu tarikan unik yang dibina di atas 26 ekar tanah pada ketinggian 6,000 kaki dari aras laut.

Selain dijadikan sebagai pusat hiburan tempatan, pembukaan Taman Tema Genting SkyWorlds yang bernilai USD 800 juta akan menggandakan kesan ekonomi melalui pewujudan peluang pekerjaan. Malah, Resorts World Genting telah memulakan satu kempen pengambilan pekerja secara besar-besaran untuk mengambil lebih dari 1,500 individu berbakat dan pasukan sokongan untuk mengendalikan operasi taman tema tersebut.

Kempen pengambilan pekerja yang dianjurkan oleh Resorts World Genting telah melibatkan sesi uji bakat di serata negara untuk mencari pasukan penghibur secara langsung yang merangkumi penyanyi, penari, penghibur watak berkostum, pemuzik dan pelakon.

“Di samping mempunyai tarikan dan pengalaman yang bertaraf antarabangsa di Taman Tema Genting SkyWorlds, pihak kami akan sentiasa berusaha untuk menawarkan perkhidmatan pelanggan dan hospitaliti yang terbaik melalui interaksi yang diberikan oleh ahli pasukan kami yang bersemangat dan dinamik. Kami sedang mencari individu yang ceria, bersemangat dan berdedikasi untuk pasukan pembukaan kami. Ini merupakan peluang sekali seumur hidup dan kami tidak sabar untuk menyaksikan semua bakat yang kreatif di acara-acara pengambilan pekerja kami,” kata Encik Gregory Pearn, Ketua Taman Tema dan Pengalaman, Resorts World Genting.

Selain daripada berada di barisan hadapan sebuah jenama hospitaliti dan hiburan riadah bertema yang tersohor di dunia, calon-calon yang berjaya akan berpeluang untuk bekerja dengan hak intelek filem-filem antarabangsa yang masyhur.

Mereka juga akan diberikan pakej gaji dan faedah yang menarik, termasuk penginapan, elaun makanan, latihan pekerjaan dan peluang pengembangan karier. Calon-calon yang berjaya berpeluang untuk bekerja bersama pasukan antarabangsa bertaraf tinggi, dengan prospek untuk menyertai dan meneroka unit-unit perniagaan lain yang berkaitan dengan pusat peranginan tersebut.

Pembukaan Taman Tema Genting SkyWorlds merupakan fasa terakhir Pelan Pelancongan Bersepadu Genting (GITP) yang telah dilancarkan pada tahun 2013 – satu rancangan induk 10 tahun untuk membangun, memperluas, menaik taraf serta membaik pulih hotel-hotel, taman tema dan infrastruktur di Resorts World Genting.

Dengan adanya Taman Tema Genting SkyWorlds yang bakal dibuka tidak lama lagi, Resorts World Genting sedang bersiap sedia untuk memacu pemulihan ekonomi negara dalam industi pelancongan, riadah dan hospitaliti.- Murai

Untuk maklumat lanjut tentang kempen pengambilan pekerja dan jawatan kosong, sila layari careers.rwgenting.com.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker