Anwar, jangan lupa ‘bebas’ sebelum ini pun kerana pengampunan diraja



Sebaran :

Silap jika anggap kenyataannya boleh panjangkan hayat politik

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim silap sekiranya menganggap tindakan mempertahankan aktivis, Fahmi Reza atas kebebasan bersuara dan berekspresi dapat memanjangkan hayat politiknya.

Sebagai seorang ahli politik Melayu, Presiden PKR itu tidak seharusnya meniru perbuatan pemimpin DAP yang menyokong karya Fahmi yang berbaur penghinaan ke atas Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Maimunah Iskandariah.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni menegaskan, sentimen antiinstitusi Raja yang ada pada DAP tidak perlu untuk dimiliki sama oleh pemimpin politik Melayu.



“Jika Anwar beranggapan kenyataannya itu akan memanjangkan hayat politiknya, bacaannya itu silap.

“Ahli politik Melayu yang ingin terus mendapat sokongan rakyat terutamanya Melayu hendaklah sentiasa dilihat bersama dalam mempertahankan institusi Raja.

“Bahkan Anwar juga sepatutnya tidak lupa bahawa dia bebas pada hari ini adalah disebabkan pengampunan diraja yang diperolehinya,” katanya dalam satu kenyataan.



Ustaz Fauzi turut menegaskan bahawa karya Fahmi dengan gambar Permaisuri Agong dan tulisan ‘This Is Dengki Ke’, bukanlah satu karya biasa yang patut dibenarkan atas nama kebebasan bersuara atau kreativiti kesenian.

“Ia jelas satu bentuk ‘menganjing’ institusi Raja dengan cara yang halus,” katanya.

Terdahulu, Fahmi atau nama sebenarnya Fahmi Reza Mohd Zarin ditahan polis – sudah dibebaskan – dipercayai bagi membantu siasatan kes menghina Raja Permaisuri Agong.



Penahanan itu susulan tindakan pereka grafik tersebut membuat hantaran menggunakan gambar Tunku Azizah dengan kapsyen ‘This is dengki ke?’ di Facebook yang dibuat sebagai gambar latar dalam aplikasi Spotify.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin DAP dilihat secara terbuka mahu Fahmi dilepaskan kerana mendakwa satira politik dan seni bukan satu jenayah.


Sebaran :


Leave a Reply