Al-Fatihah – Pelakon Filem ‘BUKIT KEPONG’, Shamsudin Baslah Meninggal Dunia

Kira-kira pukul 5.30 petang, Selasa, perginya seorang pelakon veteran yang mula dikenali menerusi filem ‘Bukit Kepong’ iaitu Shamsudin Baslah yang meninggal dunia di Hospital Tanjong Karang (HTK), Selangor, akibat sakit tua.

Berita itu disahkan oleh Pengurus Pusat Jagaan Orang Tua Selangor Relief Agency (SRA), Sharil Hussein yang memaklumkan arwah yang kini berusia 75 tahun menghembuskan nafas terakhir kerana sakit tua.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Wanita Kuala Selangor, Sarah Samsuri, berkata Allahyarham dikejarkan ke hospital selepas didapati tenat, tengah hari tadi.

“Arwah tiada penyakit cuma buang air kecil melalui tiub dan tidak boleh bersuara. Sebenarnya, sudah dua hingga tiga hari keadaan arwah tidak berapa baik. Kami mendapat tahu, arwah tenat tengah hari tadi, lalu dibawa ke hospital,” katanya.

Menurut Sharil, Allahyarham sebelum ini ada menyatakan hasrat untuk berjumpa pelakon, pengarah dan penerbit filem iaitu Datuk Yusof Haslam.

“Dua minggu lalu, arwah cerita pada saya yang dia nak sangat berjumpa dengan Datuk Yusof Haslam. Jadi, saya maklumkan perkara itu kepada pelawak Ebby Yus dan kebetulan dia ada datang ke pusat jagaan saya untuk menziarahi arwah. Walaupun arwah sudah tiada, saya akan pastikan hasratnya untuk bertemu Datuk Yusof Haslam tertunai,” katanya.

Dalam pada itu, Sharil berkata arwah merupakan seorang individu yang periang dan disayangi penghuni serta staf pusat jagaan itu. Difahamkan, Shamsudin ditempatkan di Pusat Jagaan Warga Tua SRA oleh isteri keempatnya, sejak setahun lalu dan kos penginapan arwah di pusat jagaan itu ditanggung Lembaga Zakat Selangor.

Sarah berkata, kos penginapan arwah di pusat jagaan itu ditanggung Lembaga Zakat Selangor: “Lembaga Zakat Selangor menyalurkan kira-kira RM800 setiap bulan. Namun, kos itu tidak mencukupi untuk seorang pesakit.

“Arwah memiliki anak, namun, tiada butiran lanjut diperoleh. Namun, anak lelaki daripada perkahwinan keempatnya sering menziarah arwah. Keluarganya sudah dimaklumkan mengenai pemergian arwah,” ujarnya.

Sharil turut memaklumkan jenazah Allahyarham telah dibawa ke pusat jagaan terbabit untuk dimandikan dan dikafankan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Paya Jaras, Sungai Buloh.

“Selepas diuruskan, jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Paya Jaras, Sungai Buloh,” maklum Sharil ketika dihubungi.

Allahyarham yang aktif sejak era 1980-an dikenali melalui lakonan dalam filem ‘Bukit Kepong’ pada 1981, ‘Penentuan’ (1982) dan ‘Bila Hati Telah Retak’ (1983). Selain berlakon, arwah juga menggalas tugas pengarah dan penerbit.-mSTAR

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker