Pasaran saham tempatan dan ringgit terus susut

Bursa Malaysia Berhad
Bursa Malaysia meneruskan penurunan semalam untuk dibuka rendah hari ini, disokong oleh aktiviti pengambilan untung yang berterusan di kaunter saham berwajaran tinggi dan penjagaan kesihatan terpilih, di tengah-tengah sentimen berhati-hati di pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 9.29 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.23 mata kepada 1,599.45 daripada 1,606.68 sewaktu ditutup pada Selasa.

Saham pandu pasaran dibuka 0.16 mata lebih rendah kepada 1,606.52.

Keseluruhan suasana pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 359 berbanding 270, manakala 369 kaunter tidak berubah, 1,194 tidak diniagakan dan 54 yang lain digantung.



Jumlah dagangan berjumlah 1.29 bilion saham bernilai RM609.21 juta.

Malacca Securities, menerusi nota penyelidikan berkata, FBM KLCI mengalami penurunan yang sebahagiannya diheret oleh aktiviti pengambilan untung di saham berwajaran tinggi sarung tangan berikutan kenaikan semula baru-baru ini.

“Kami menjangkakan pelabur terus bimbang dan memberi tumpuan kepada sektor yang pasti berpendapatan tinggi dengan larangan perjalanan antara negeri masih berkuatkuasa, manakala usaha mengekang COVID-19 yang lebih tegas telah dilaksanakan di kebanyakan negara.

“Mengikut komoditi, harga minyak mentah (MSM) menyaksikan lonjakan berikutan kenaikan minyak kacang soya, manakala harga minyak mentah Brent mengalami sedikit lonjakan. Sementara itu, rangka tindakan perkhidmatan minyak dan gas (O&G) 10 tahun telah dilancarkan untuk mendorong eksport dan penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.



Firma penyelidikan itu berkata, pelabur mungkin memberi tumpuan kepada sektor teknologi dan semikonduktor pada masa depan susulan keputusan luar biasa yang dikeluarkan semalam.

“Selain itu, pelabur mungkin meletakkan kaunter perladangan pada radar susulan lonjakan harga MSM. Sebahagian minat dagangan mungkin disaksikan di kaunter O&G berikutan pelancaran rangka tindakan perkhidmatan O&G 10 tahun,” tambahnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.26, Public Bank susut 1.0 sen kepada RM4.16, Petronas Chemicals jatuh 3.0 sen kepada RM7.82, TNB rendah 4.0 sen kepada RM9.94, dan Top Glove jatuh 14 sen kepada RM5.62.

Dalam kalangan saham aktif, Vortex Consolidated naik 1.0 sen kepada 16 sen, Sapura Energy meningkat setengah sen kepada 13.5 sen, Nova MSC menambah 2.0 sen kepada 16.5 sen, manakala Focus Dynamics tidak berubah pada 13 sen.



Sementara itu, dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, Ancom Bhd dan Nylex (Malaysia) Bhd meminta dagangan digantung pada 9 pagi Rabu sementara menunggu pengumuman penting.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah turun 44.46 mata kepada 11,803.52, FBMT 100 jatuh 45.87 mata kepada 11,454.25, FBM 70 susut 39.84 mata kepada 15,658.17, FBM Emas Shariah turun 72.94 mata kepada 13,269.48, dan FBM ACE turun 9.18 mata kepada 8,897.30.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meraih 0.65 mata kepada 6,853.19, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 3.39 mata kepada 14,948.45 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.58 mata kepada 196.23.

ma

Ringgit
dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan permintaan semula ke atas ringgit susulan hasil Perbendaharaan AS yang stabil dan penghindaran risiko yang meningkat akibat lonjakan kes COVID-19, terutama di Asia, yang memberikan sokongan kepada dolar AS.



Pada 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.0990/1030 berbanding dolar AS daripada 4.0960/0990 sewaktu ditutup pada Selasa.

Penganalisis berkata, penyusutan itu bagaimanapun dikekang oleh harga minyak yang lebih kukuh berikutan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan Sekutu (OPEC+) membuat keputusan untuk mengekalkan pengurangan output untuk tidak berubah.

Sementara itu, penganalisis pasaran kanan OANDA bagi The Americas, Edward Moya dalam satu nota berkata, walaupun permintaan minyak mentah dari India dan Jepun, unjuran mencatatkan banyak peningkatan di seluruh Eropah dan memberikan peluang untuk mengekalkan cadangan kenaikan tiga bulan, secara berperingkat yang diputuskan pada empat minggu lalu.

Permintaan minyak dijangka terus merosot di India dan Jepun memandangkan jumlah kes COVID-19 yang terus merekodkan peningkatan.



Setakat ini, harga penanda aras minyak mentah Brent diniagakan stabil pada AS$66.35 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan itu meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0880/0912 daripada 3.0883/0908 sewaktu ditutup pada Selasa dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.7633/7680 daripada 3.7824/7856.

Bagaimanapun, ia susut berbanding euro kepada 4.9504/9568 daripada 4.9410/9463 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.6927/6987 daripada 5.6865/6923. Bernama



Kelemahan kerajaan, rakyat yang tanggung

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker