Periksa haid: Radzi minta beritahu sekolah mana

Sebaran :

“Jika ia berlaku, beritahu saya di sekolah mana supaya tindakan boleh diambil,” itu jawapan Menteri Pendidikan Radzi Jidin ketika diminta mengulas mengenai amalan memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka datang haid.

Radzi berkata pihaknya juga sedang berusaha mengesan kes seumpama itu di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan setakat ini tiada sebarang maklumat amalan itu wujud.

Tegasnya KPM akan mengambil tindakan susulan jika maklumat yang disebarkan disertakan maklumat lengkap seperti kes-kes lain sebelum ini.

Beliau memberi contoh kes di Batu Pahat, Johor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Bentara Luar yang dikatakan mengasingkan kegiatan kokurikulum berdasarkan bangsa pelajarnya.

Katanya dalam kes itu siasatan KPM mendapati perkara itu memang berlaku dan beliau sendiri telah mengeluarkan kenyataan mengenainya.

KPM kini umum persekolahan guna kaedah PdPR lepas cuti raya

“… tapi bagi isu itu (pemeriksaan haid), kami sedang periksa sehingga sekarang, kami check satu-satu, semua bahagian kami tanya dan jawapannya, tiada,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan pelajar di beberapa buah sekolah yang tidak dinamakan mendakwa amalan memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka datang bulan dikatakan berlaku sejak 20 tahun lepas.

Sementara itu, Radzi turut mengulas mengenai penyebaran video Tik Tok seorang pelajar sekolah menengah di Selangor yang mendakwa seorang guru mata pelajaran pendidikan jasmani bergurau secara keterlaluan yang merujuk kepada perbuatan rogol.

“Ia telah jadi kes polis, kita tak nak sentuh banyak. Namun perbuatan itu tak sepatutnya berlaku, semua kita pun tak setuju, lebih-lebih lagi ia melibatkan adab dan integriti anak-anak kita,” katanya.

– Bernama

[AUDIO] PANAS! Tular Rakaman Mirip Menteri KDN Berkaitan Skandal Pertukaran Jawatan Dalam PDRM


Sebaran :

Leave a Reply