KPM kini umum persekolahan guna kaedah PdPR lepas cuti raya

Sesi persekolahan selepas cuti hari Aidilfitri ini akan diteruskan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka, kata Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin.

Katanya sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu (kumpulan A), dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya (kumpulan B).

Pelajar dakwa guru persendakan rogol dalam kelas

 

Radzi berkata keputusan itu dibuat bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 di sekolah selepas cuti Aidilfitri yang dijadualkan pada 7 hingga 15 Mei bagi sekolah kumpulan A dan 8 sehingga 16 Mei bagi sekolah kumpulan B.

Katanya selepas tempoh PdPR itu, murid dan pelajar akan menyambung cuti penggal yang bermula 28 Mei sehingga 12 Jun bagi sekolah kumpulan A dan 29 Mei sehingga 13 Jun bagi sekolah kumpulan B.

“Ini sesuatu yang baru kita belajar. Jika tahun lalu ketika perayaan Aidilfitri sekolah tutup ketika itu, jadi kita tidak tahu data selepas raya macam mana.

“Kita khuatir terutama mereka yang akan pulang ke asrama kerana menjangkakan ada jangkitan yang akan didapati dari luar, jadi kita ambil langkah ini untuk mengawal penularan tersebut kerana selepas perayaan pelajar berada di rumah lebih lama,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Radzi berkata pelajar dan murid yang tinggal di asrama sekolah di bawah KPM di seluruh negara turut akan dibenarkan pulang bagi menyambut Aidilfitri dan juga akan melalui PdPR dalam tempoh dua minggu selepas cuti itu.

Sebelum ini, takwim sekolah bagi 2021 menetapkan selepas cuti Aidilfitri, pelajar dan murid perlu hadir semula ke sekolah bagi meneruskan sesi pembelajaran selama dua minggu dan bercuti penggal selepas itu.

– Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker