SHUK MASIH DAPAT JOB WALAU BERDEPAN KONTROVERSI
Pelawak Shuk Sahar, 35, bersyukur apabila dia masih mendapat tawaran membuat persembahan termasuk menjadi duta produk, meskipun terpalit kontroversi pergolakan rumah tangga.
Shuk berkata, biarpun ada beberapa tawaran kerja atau ‘job’ dibatalkan selepas kisah sensasinya tular, masih ada pihak yang mahu memberinya peluang beraksi.
“Tidak perlulah saya beritahu pihak yang membatalkan tawaran. Hakikatnya, memang ada beberapa tawaran dibatalkan. Namun, bukan semua. Ada ‘job’ yang dilakukan tahun lalu, masih memberi peluang sama. Contohnya, program I Can See Your Voice (ICSYV) musim baharu.
“Ini antara program kesayangan… Saya bersyukur masih diberi peluang untuk terus menjayakannya. Saya bersyukur walaupun saya diuji begini, masih ada rezeki diberi Allah untuk menyara keluarga,” katanya.
Ditemui pada majlis pelancaran kempen Ramadan Raya Jakel 2021 di Jakel Mall di ibu negara, baru-baru ini, Shuk bersyukur gedung tekstil berkenaan melantiknya sebagai duta, buat tahun kedua. Shuk juga bersyukur memiliki rakan-rakan yang memberi sokongan sepanjang dirinya dilanda kontroversi.
“Saya bersyukur dapat kawan-kawan yang baik. Sebagai contoh, dalam suatu pertandingan di mana saya, Mark Adam dan Achey terbabit. Jika saya menjadi mereka, mungkin akan berfikir banyak untuk mengambil saya. Kawan-kawan saya masih okay dan terus menyokong. Malah, ada yang mengambil berat seperti saya ahli keluarga sendiri,” tuturnya.
Bertanya mengenai hubungannya dengan isteri, Shuk berkata, mereka baik-baik sahaja: “Apa yang saya kurang, saya cuba perbaiki agar hubungan kami menjadi lebih baik. Apa yang lebih penting adalah apa yang isteri dan keluarga saya rasa.
“Saya tiada salahkan isteri saya atau sesiapapun. Apa yang berlaku adalah salah sendiri. Kita sebagai manusia ada pilihan. Apabila kita pilih untuk melakukan perkara itu, kita kena sedar, kita tidak boleh salahkan sesiapa.
“Itulah antara pengajaran yang saya peroleh. Selain itu, saya dan keluarga menjadi lebih rapat. Saya menjadi lebih berhati-hati dan berfikir panjang ke hadapan,” ujarnya.
Terdahulu, Shuk telah kehilangan pekerjaan sebagai penyampai radio Hot FM selepas kontroversi rumah tangga bersama isteri, Rossalennah Natassyiah Asshaferah atau Sera hangat diperkatakan.
Menerusi beberapa entri yang dimuat naik di laman Instagram (IG), Sera mendedahkan suaminya masih menjalinkan hubungan cinta dengan wanita lain. Shuk juga pernah dikaitkan dengan seorang wanita pada Julai, tahun lalu.
Untuk makluman, Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Nur Qurratul Ain dan Nur Assyifatu Aimy.
[VIDEO] GERAI DISERANG – SHUK HOT FM DITUDUH SENGAJA BUAT ‘DRAMA’.
You must be logged in to post a comment.