Lamb shank Chef Ammar, nasi kandar Jitra Mai paling laris di Bazar Stadium Shah Alam
SHAH ALAM – Bazar Ramadan merupakan destinasi wajib singgah dan paling ditunggu-tunggu setiap kali tibanya bulan Ramadan.
Sudah pasti bazar yang menawarkan pelbagai jenis juadah itu akan menjadi tarikan utama kepada para pengunjung.
Tinjauan di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13, di sini, mendapati rata-rata pengunjung sanggup beratur seawal pukul 3 petang untuk membeli juadah berbuka puasa.
Antara yang menjadi tumpuan sudah semestinya gerai milik chef selebriti, Chef Ammar Al Ali yang menyajikan hidangan Timur Tengah.
Menurut chef berpengalaman berasal dari Jordan itu, sambutan amat menggalakkan diterima daripada pelanggan sejak hari pertama mereka beroperasi di bazar tersebut.
“Kita hanya bawa ‘killer menu’ seperti lamb shank mandy bersama telur saffron yang dijual dengan harga RM49 dan nasi mandy bersama ayam ros kabsah berharga RM25.
“Setiap lamb shank yang dihidangkan seberat kira-kira 300 gram manakala satu pek nasi pula anggarannya 230 gram. Jadi ia agak berbaloi dengan harga yang kita jual kerana rasanya memang tidak mengecewakan.
“Lamb shank ini kualitinya setaraf hotel lima bintang kerana ia dimasak selama berjam-jam untuk mendapatkan daging yang begitu lembut dan ‘juicy’,” katanya.
Tambah Chef Ammar, beliau akan menyediakan antara 600 hingga 700 pek setiap hari untuk tidak mengecewakan pelanggan yang datang.
Jelasnya lagi, kebanyakan pelanggan sanggup beratur panjang walaupun gerai miliknya masih belum dibuka.
Sementara itu, Pengurus Nasi Kalut Jitra Mai, Muhammad Amzar A. Zarin berkata, sebanyak 800 ekor ayam dan 70 kilogram beras diperlukan setiap hari sepanjang bulan Ramadan.
Menurut Muhammad Amzar, selain bazar stadium, mereka turut berniaga di Bazar Ramadan PKNS serta dua lagi cawangan restoran yang beroperasi iaitu Seksyen 7 dan Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
“Daripada puasa pertama lagi nasi kandar kami mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelanggan sehingga lauk yang kita bawa semua habis licin.
“Menu yang paling mendapat sambutan adalah ayam goreng selain ayam madu, daging dan juga sotong,” ujarnya.
Dalam pada itu, antara gerai menarik yang turut diserbu oleh pelanggan adalah gerai menjual kerang bakar.
Pemilik gerai, Fitri Musa berkata, dia menjual kerang berkualiti yang diambil khas dari Kuala Selangor.
“Selain kerang, kita turut menawarkan kepah, lokan dan mentarang bakar yang disalut dengan sambal istimewa,” katanya. MG
Nur Iman Bayu tawar lebih 18 jenis ikan bakar di bazar Ramadhan Bandar Sri Permaisuri
You must be logged in to post a comment.