Penggunaan dana Kwan sama seperti kebenaran pengeluaran KWSP – Wan Saiful


Susulan beberapa pihak yang menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk membeli vaksin Covid-19, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan melihat isu tersebut tidak banyak beza dengan kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ini.

Merujuk kepada ahli politik yang digelarnya sebagai “kluster merungut”, Wan Saiful berkata mereka sendiri sebelum ini menggesa kerajaan membenarkan orang ramai membuat pengeluaran KWSP untuk mendepani wabak Covid-19.

“Ada nama-nama besar Umno yang belum habis dengan rungutan…hingga terlupa bahawa menteri kesihatan dan menteri yang mengetuai urusan berkaitan Vaksin adalah dari Umno sendiri. Kluster merungut ini gagal berbincang di peringkat dalaman sebab terlalu ghairah nak tunjuk pandai agaknya.

“Hari ini mereka merungut mengenai pengeluaran dana KWAN sebab kononnya KWAN adalah untuk masa depan. Padahal mereka inilah yang dulu merungut menuntut KWSP boleh dikeluarkan.

“Masa itu, mereka guna alasan tiada faedah jaga masa depan jika hari ini tak boleh jaga rakyat. Tapi sekarang terlupa pula hujah itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 21 April lepas, kerajaan meluluskan undang-undang untuk menggunakan dana Kwan untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Ia dilakukan melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Untuk rekod, Kwan ditubuhkan pada 1988 sebagai tabung masa depan negara. Dananya disumbang menerusi Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.

Susulan itu, sejumlah ahli politik – antaranya Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng – menyuarakan bantahan terhadap itu, antara lain dengan membangkitkan tujuan Kwan diwujudkan.

Mengulas lanjut, Wan Saiful melihat isu penggunaan dana Kwan sama seperti pengeluaran KWSP sebelum ini, dengan kedua-duanya bertujuan untuk kegunaan masa depan.

“Logik pembenaran pengeluaran Kwan adalah sama dengan masa kita tuntut kebenaran pengeluaran KWSP, iaitu sekarang ini adalah waktu yang luar biasa dan untuk jaga rakyat,” katanya.

Dia juga berkata penggunaan dana ini sudah pasti disertakan dengan syarat yang ketat agar ia tidak dibelanjakan secara sewenang-wenangnya.

“Akta Kwan ini (diwujudkan) pada 1988, sudah lebih 30 tahun. Kalau waktu krisis Covid-19 ia tak boleh digunakan, apa gunanya kita wujudkan dana ini 30 tahun lepas?” katanya lagi.

‘Patut bincang cara lebih baik’

Sementara itu, exco Pemuda Umno Mustafa Shah Abdul Hamid berkata keputusan untuk menggunakan dana Kwan sepatutnya diputuskan dengan perbincangan di Parlimen.

Kalau anda terlepas…

KATA MP | Takkan tunggu lebih ramai korban baru Muhyiddin berundur
Ia bagi memastikan perkara ini benar-benar mendesak atau negara masih mempunyai pilihan lain yang lebih baik, katanya.

“Gunakan segala usaha yang ada untuk menjana pendapatan negara yang semakin kritikal ini sebelum memilih untuk ‘memecah’ tabung simpanan untuk masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustafa yang juga Ketua Pemuda Umno Kuala Kangsar turut mempersoalkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berhubung mengapa Malaysia tidak seperti negara serantau lain yang mampu menjana ekonomi di saat wabak Covid-19.

“Mengapa Indonesia berjaya mendapatkan pelaburan daripada syarikat gergasi dunia seperti Amazon dan Google?

“Ke manakah hilangnya pengaruh Malaysia sebagai negara yang pernah menjadi tumpuan pelabur asing di rantau ini?” soalnya. Mk

Guna KWAN kerajaan PN pertaruh masa hadapan generasi akan datang – Tok Mat

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker