Bank Rakyat peruntuk RM2 juta bagi RAKYATpreneur 2.0


Kuala Lumpur: Bank Rakyat memperuntukkan dana kira-kira RM2 juta bagi RAKYATpreneur 2.0 bermula Julai hingga akhir tahun ini untuk disalurkan kepada usahawan asnaf.

Rakyatpreneur 2.0 dijangka dapat dimanfaatkan lebih kurang 200 orang usahawan asnaf yang bakal dipilih dari seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dana terbabit akan diagihkan kepada perniagaan daripada latar belakang yang kurang berkemampuan seperti usahawan asnaf yang berpotensi tinggi untuk memperluaskan perniagaan dan maju dalam sektor keusahawanan.

Katanya, kesinambungan program ini berikutan kejayaan RAKYATpreneur yang dilancarkan Disember tahun lalu yang mana sudah berjaya meningkatkan hasil jualan perniagaan 20 orang usahawan mikro antara 20 dan 30 peratus dalam tempoh kurang dari enam bulan.

“Justeru, saya berpendapat bahawa program sebegini harus dikembangkan ke peringkat seterusnya supaya lebih ramai lagi usahawan dapat dibantu sekali gus meningkatkan status komuniti asnaf dan seterusnya menjana ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, Bank Rakyat berkeyakinan meneruskan program ini pada skala yang lebih besar berdasarkan penilaian RAKYATpreneur rintis yang mana majoriti pesertanya menunjukkan hasil jualan bulanan yang meningkat.

“Peserta juga lebih berkreativiti dalam mempelbagaikan kanvas perniagaan dengan mencipta penjenamaan sendiri dan jualan dalam talian.

“Pelbagai program dan inisiatif RAKYATpreneur 2.0 sudah dirancang bagi memastikan ia terus membantu meningkatkan pendapatan peserta sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan pada masa hadapan,” katanya.

Bermula 1 Mei sehingga 31 Mei 2021, maklumat lanjut dan borang pendaftaran bagi menyertai program ini boleh didapati di www.bankrakyat.com.my.

Borang pendaftaran, hendaklah dihantar ke cawangan Bank Rakyat yang berhampiran dalam tempoh berkenaan.

Menerusi RAKYATpreneur, usahawan mikro dari pelbagai bidang seperti makanan dan minuman, percetakan, kedai runcit dan makanan laut yang terpilih akan menerima dana berjumlah RM5,000 setiap seorang.

Ia termasuk bimbingan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keusahawanan menerusi program webinar dengan kerjasama daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) serta bimbingan kewangan daripada Bank Rakyat. HM

Yayasan Bank Rakyat sumbang RM400,000 bantu pelajar dan mangsa banjir

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker