Yayasan Bank Rakyat sumbang RM400,000 bantu pelajar dan mangsa banjir

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerusi Yayasan Bank Rakyat mengukir senyuman di wajah pelajar dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dengan menyerahkan sumbangan berjumlah RM200,000 sempena pembukaan semula sesi persekolahan minggu hadapan.

Pada masa sama, Yayasan Bank Rakyat turut menyampaikan sumbangan RM200,000 lagi kepada golongan miskin yang terkesan akibat bencana banjir yang berlaku awal Januari lalu.

Sumbangan tersebut adalah hasil kerjasama antara Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), SME Bank dan Uda Holdings.



Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam kenyataan, pelajar-pelajar daripada keluarga B40 layak menerima bantuan berkenaan yang berjumlah RM200 setiap seorang merangkumi pembelian baju, kasut dan beg sekolah.

 

Kementerian itu memberitahu, sumbangan tersebut melibatkan sejumlah 1,000 pelajar di Sarawak sempena program Kembali ke Sekolah Yayasan Bank Rakyat.

Katanya, inisiatif bantuan persekolahan program itu yang memasuki tahun ketiga penganjuran telah memberi manfaat kepada 33,721 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM3.07 juta.



“Bantuan dalam pelbagai bentuk bernilai RM200 juga diberikan kepada setiap keluarga yang telah dikenal pasti terkesan akibat kemusnahan dan kerosakan harta benda daripada musibah banjir.

“Seramai 500 keluarga mangsa banjir di Sarawak yang memerlukan bantuan keperluan asas bagi kelangsungan hidup akan menerima manfaat ini.

“Selain itu, peruntukan sebanyak RM100,000 lagi akan diberikan kepada keluarga mangsa banjir yang terlibat di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar (dua dari kanan) beramah mesra dengan pelajar sekolah yang menerima sumbangan Yayasan Bank Rakyat

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap sumbangan yang disampaikan itu dapat membantu meringankan beban keluarga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan.



Beliau turut berterima kasih dan menyokong inisiatif Yayasan Bank Rakyat serta agensi di bawah kementerian itu dalam membantu masyarakat yang dilanda bencana.

“Diharapkan lebih banyak entiti korporat dan organisasi lain dapat turut sama membantu memberi bantuan sebegini. Ini membuktikan syarikat-syarikat korporat turut mengambil berat terhadap mereka yang memerlukan,” jelas beliau.

Pada masa sama, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin menyifatkan program bantuan persekolahan dan bantuan banjir berkenaan sebagai satu aktiviti kemasyarakatan seiring dengan keprihatinan kerajaan dalam memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat.

Yayasan Bank Rakyat taja lebih RM500,000 untuk program tuisyen pelajar



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker