Masjid mukim, surau seluruh Kelantan diarah tutup



Sebaran :

Hanya 17 masjid bandar, jajahan dibenarkan untuk aktiviti keagamaan

Semua masjid mukim, surau dan musolla di seluruh negeri Kelantan ditutup bermula esok sehingga suatu tarikh dimaklumkan kelak.

Penutupan itu untuk semua aktiviti termasuk pelaksanaan Solat Jumaat, solat fardu, Solat Sunat Tarawih dan aktiviti-aktiviti lain.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, ibadah-ibadah tersebut masih dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid negeri, bandar dan jajahan dengan hanya 50 peratus daripada masjid selepas penjarakan.



Manakala aktiviti lain termasuk tazkirah, tadarus al-Quran, iktikaf dan lain-lain tidak dibenarkan.

Katanya, hanya 17 buah masjid bandar dan jajahan sahaja yang dibenarkan untuk aktiviti keagamaan.

Masjid itu adalah Masjid Muhammadi di Kota Bharu, Masji Al Sultan Ismail Petra (Kubang Kerian), Masjid Al-Ismaili (Pasir Pekan), Masjid Muhammad II (Telipot), Masjid Sultan Mansor (Kampung Sireh), Masjid D’Raja Long Yunus (Langgar) dan Masjid Bandar As-Salam (Pengkalan Chepa).



Selain itu, Masjid Ismaili di Tumpat, Masjid Mahmoodi (Bachok), Masjid Ibrahimi (Pasir Puteh), Masjid Sultan Yahya Petra (Machang), Masjid Tengku Muhammad Faris Petra (Kuala Krai) dan Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra (Gua Musang) turut dibenarkan untuk aktiviti solat.

“Maik juga membenarkan Masjid Sultan Muhammad I di Jeli, Masjid Sultan Muhammad III (Pasir Mas), Masjid Ismail Petra (Tanah Merah) dan Masjid Bandar An-Nur Guchil (Kuala Krai) beroperasi sepanjang tempoh itu.

“Maik mengharapkan kerjasama semua pihak terutama umat Islam dalam melaksanakan ketetapan ini. Tindakan sewajarnya akan diambil atas kegagalan untuk mematuhi prosedur operasi standard ini,” katanya.




Sebaran :


Leave a Reply