Jomo: Malaysia jangan bodoh sombong, belajar dari negara jiran
Malaysia tidak harus terlalu terikut-ikut dengan cara negara barat mengendalikan wabak Covid-19, sebaliknya mengambil teladan daripada negara-negara dunia ketiga yang lebih berjaya dalam menanganinya, kata pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram.
Jomo berkata, Malaysia tidak boleh bodoh sombong perlu merendah diri untuk belajar daripada negara-negara jiran terdekat, termasuk yang lebih miskin, dalam soal pengurusan wabak itu.
“Sebenarnya, kalau kita sanggup merendahkan diri dan belajar daripada pengalaman negara-negara lain, terutamanya dunia ketiga.
“Vietnam jauh lebih miskin daripada kita, Laos negara termiskin dalam Asean. (Tetapi) Mereka lebih berjaya daripada kita. Apa sebabnya? Laos itu bersempadan dengan China (negara Covid-19 mula tersebar).
“Tapi, mungkin kita seolah-olah macam bodoh sombong.. Kita terikut-ikut barat, kaedah barat.
“Jadi bagi saya, tindakan yang pragmatis perlu (dalam menangani wabak),” katanya dalam sidang media ‘Darurat dan Mudarat Ekonomi’ yang dianjurkan Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat di Hotel Tamu, Kuala Lumpur hari ini.
Setakat ini, jumlah keseluruhan kes positif di Vietnam adalah sebanyak 2,785 kes, dengan 35 kematian dan 2,475 kes pulih, sementara Laos pula mencatatkan kes keseluruhan sebanyak 58 kes, dengan 49 kes pulih dengan sifar kematian.
Vietnam mempunyai populasi penduduk hampir 97 juta, manakala Laos pula mempunyai lebih 7 juta penduduk.
Sebagai perbandingan, Malaysia yang berpopulasi lebih 32 juta, setakat ini mencatatkan jumlah keseluruhan 375,054 kes, dengan 1,378 kematian dan 353,822 kes pulih.
Selain dua negara jiran yang disebutkan, Jomo turut merujuk negara-negara Asia Timur untuk diambil iktibar, iaitu Korea Selatan, Jepun dan Taiwan, yang dapat mengawal wabak Covid-19 meskipun tidak melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) seperti Malaysia.
Di Korea Selatan, Jomo membangkitkan ujian saringan yang giat dilakukan ketika peringkat awal wabak melanda.
Malah, kata Jomo lagi, mengikut statistik 2020, negara-negara Asia Timur ini berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi, di saat seluruh dunia dilanda Covid-19 serta kesan ekonomi yang dibawanya.
Mengulangi kritikannya terhadap pelaksanaan PKP, Jomo berkata negara Asia Timur serta Vietnam, Laos dan Thailand tidak menggunakan kaedah itu tetapi tetap berjaya mengawal wabak.
Pada masa sama, Jomo mengakui keadaan penularan di Malaysia tidak seburuk sejumlah negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Brazil tetapi berpendapat penambah baikan boleh dilakukan terhadap pengurusan wabak.
“Ada aspek yang baik yang patut kita teruskan, tetapi ada banyak aspek yang malangnya sebenarnya tidak kena pada sasaran,” tambahnya.
Mk
You must be logged in to post a comment.