Mahathir puji insiatif Ratu Cantik Miss Earth Malaysia menghasilkan tuala wanita mudah terurai
Ketika ramai bertanya apa rahsia lanjut usia Tun Dr Mahathir, bekas perdana menteri berkata, hakikatnya lebih ramai rakyat Malaysia akan panjang umur dan mereka akan menyumbang ke arah pembentukan masyarakat berusia tidak lama lagi.
Pada 2020, lebih tujuh peratus penduduk Malaysia berusia 65 tahun dan ke atas dan menjelang 2030, dijangka sebanyak 15 peratus rakyat negara ini berusia 60 tahun dan ke atas.
Dr Mahathir, 95, berkata faktor penyumbang kepada senario ini adalah kerana usia rakyat Malaysia melebihi purata jangka hayat semasa, selain populasi yang agak sihat serta sistem penjagaan kesihatan yang agak baik berbanding banyak negara membangun lain.
Dr Mahathir berkata demikian kepada Bernama pada Selasa ketika sesi 30 minit bersama Ratu Cantik Miss Earth Malaysia 2020/21, Dr Nisha Thayananthan di pejabatnya di Putrajaya.
Tip penting daripada Dr Mahathir untuk mereka yang mahu panjang umur adalah ‘seseorang itu patut makan untuk hidup dan bukan hidup untuk makan’.
“Saya berjaya mengekalkan berat badan yang sama sejak 30 atau 40 tahun lalu, ia tidak berubah. Saya tidak makan banyak dan saya tidak makan berlebihan apabila rasa sedap,” katanya sambil menambah, dia kekal aktif dengan berjalan di atas mesin ‘treadmill’ dan ada kalanya berbasikal.
Sementara itu, Dr Mahathir memuji insiatif Dr Nisha menghasilkan tuala wanita mudah terurai menggunakan jenamanya sendiri.
Beliau berkata, ia adalah usaha yang bagus dalam mencegah sisa buangan mencemarkan alam sekitar, lebih-lebih lagi ketika jumlah penduduk akan meningkat dalam tempoh 30 akan datang.
Dr Mahathir turut mengucapkan tahniah kepada Dr Nisha yang akan menyertai pertandingan Ratu Cantik Miss Earth hujung tahun ini di Manila, Filipina.
Dilahirkan pada 10 Julai 1925, Dr Mahathir mencipta sejarah sebagai pemimpin negara yang pernah dua kali dilantik menjadi perdana menteri serta perdana menteri tertua di dunia apabila dilantik semula selepas pilihan raya umum 2018.
– Bernama
You must be logged in to post a comment.