Banyak produk elektrik dipasaran tanpa ‘Sijil SIRIM’

 

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata, terdapat banyak produk elektrik untuk kegunaan rumah yang tidak mempunyai kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

CAP menyifatkan keadaan itu sangat membimbangkan kerana ia menunjukkan Malaysia menjadi tempat pembuangan barang elektrik yang tidak terkawal.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, banyak produk ini dijual tanpa kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).

Beliau berkata, produk yang didapati tidak memiliki pensijilan sah itu termasuk soket sambungan kuasa, pembakar roti, seterika, pemanas air rendaman dan lampu hiasan.

Katanya, kebanyakan produk itu dijual di kedai elektrik yang ditinjau CAP di wilayah utara.

“Sekiranya sesuatu produk sudah disahkan dan memenuhi syarat standard keselamatan kebangsaan negara lain, ia masih perlu memenuhi syarat standard Malaysia sebelum ia boleh dipasang kepada bekalan elektrik utama kita.

“(Pengguna Malaysia) perlu memahami apabila mereka membeli produk tanpa kelulusan Sirim, produk itu mungkin tidak mempunyai kualiti dan kebolehpercayaan yang diharapkan.

“Lebih penting, produk seperti ini mungkin tidak memberi perlindungan diperlukan daripada kejutan elektrik, kebakaran dan radiasi,” katanya dalam kenyataan.

Mohideen Abdul Kader.

Mohideen berkata, produk dengan pensijilan Sirim sudah diuji dan didapati selamat digunakan pada voltan betul, iaitu 240V, 50Hz.

Beliau menggesa Jabatan Kastam memastikan produk diimport diisytiharkan di bawah kategori betul, manakala produk yang tidak mematuhi peraturan harus dikembalikan kepada pengeluar.

“CAP menggesa Suruhanjaya Tenaga memastikan pengeluar dan pengimport menggunakan label Sirim tulen dan mereka mengikuti prosedur betul dalam melekatkannya pada produk.”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker