Peniaga yong tau fu rugi RM800 khemah terbalik

KUALA LUMPUR – “Sekelip mata khemah terbang dan habis jualan terbalik dan berterabur di atas jalan, ” kongsi seorang peniaga bazar Ramadan Seksyen 1 Wangsa Maju, Fatin Amalina Zulkifli, 29 selepas videonya tular di media sosial pada petang Selasa.

Dalam video berdurasi 41 saat itu memaparkan Fatin Amalina bersama ibu dan adiknya sedang mengutip jualan yang jatuh di atas jalan dalam keadaan hujan hingga menarik simpati pengguna media sosial.

Fatin Amalina berkata, dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, dia mengalami kerugian kira-kira RM800 melibatkan jualan makanan yong tau fu yang rosak dan terpaksa dibuang selain khemah niaganya patah.

Menurutnya, mereka sekeluarga menganggap insiden itu sebagai ujian di hari pertama berniaga pada bulan Ramadan.

“Nak kata trauma itu tidak, tetapi memang terkejut kerana kejadian berlaku terlalu pantas. Kami baru susun barang dan tak sempat jual apa-apa lagi sebelum tiba-tiba khemah diterbangkan angin kuat.

“Ketika itu memang nampak cuaca mendung tapi tak sangka pula sampai seteruk ini. Ada beberapa peniaga juga menerima nasib sama, yang mana sempat selamatkan barang dapatlah mereka meneruskan perniagaan seperti biasa, macam kami basah kuyup dan terus pulang ke rumah,” katanya.

Jualan rosak selepas jatuh di atas jalan.
Mengulas mengenai penularan video itu, katanya dia tidak mengetahui mengenai perkara itu kerana tidak sempat melihat telefon disebabkan sibuk di lokasi kejadian.

“Cuma masa tengah mengemas barang tadi, ada tukang rakam maklumkan dia telah menghantar video tersebut ke media, saya pula tidak bertanya banyak kerana tengah kelam kabut.

“Saya anggap kejadian ini lumrah dalam perniagaan. Cuma apabila ada yang beri kata semangat, nak datang ‘support’ beli yong tau fu saya esok, pastinya saya terharu dan berterima kasih,” katanya.

Fatin Amalina berkata, perniagaan yong tau fu itu dikenali oleh penduduk setempat kerana diusahakan mereka sekeluarga sejak 28 tahun lalu di pasar malam sementara di bazar Ramadan pula hampir 15 tahun.

Dalam pada itu hujan lebat bermula jam 4.30 petang telah menyebabkan kesesakan trafik yang teruk di beberapa lokasi susulan banjir kilat.

Antara laluan yang dinaiki air ialah Jalan Kuching di Taman Wahyu menghala Bulatan Batu Caves; Jalan Cheras di Cheras Sentral ke bulatan Billion dan kedua-dua arah Jalan Maharajalela berhampiran Stesen Monorail Maharajalela dan Jalan Raja Chulan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker