Najib mampu ketuai kebangkitan UMNO hadapi PRU15

SHAH ALAM – UMNO memerlukan sinar baharu yang berperanan menguatkan kembali parti itu dan memberi semangat kebangkitan kepada lebih 3.6 juta ahlinya demi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Ahmad Zaini Japar mengulangi pandangan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak mampu menjadi sinar baharu berkenaan dengan mengambil kira pengalaman dan kebijaksanaan beliau mentadbir negara sebelum ini.

Di sebalik sabitan kes mahkamah dihadapi Najib, imej pemimpin itu semakin meningkat dengan beliau kini boleh dianggap antara pemimpin UMNO paling popular pada pasca kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN), PRU14.

“Kemampuan Najib itu ada untuk berperanan memimpin UMNO semula. Dalam hal ini peranan Najib boleh digunakan untuk menghidupkan balik dan menguatkan parti,” katanya dalam kenyataan pada Selasa. ini.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal berkata, UMNO tidak boleh lagi menangguhkan pemilihan parti dan perlu diadakan sebagaimana dijadualkan bagi menyelesaikan pelbagai isu kepimpinan sedia ada.

Jelasnya, pemilihan kali ini amat penting kerana ia merupakan peluang kepada UMNO untuk memberi nafas baharu dalam konteks menyediakan barisan kepimpinan yang akan diketuai oleh individu yang mempunyai ciri-ciri seorang ketua kerajaan.

Apatah lagi, katanya, imej Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah tercalar untuk mengemudi UMNO ekoran kebocoran audio perbualan telefon antara beliau dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia merupakan salah satu faktor untuk pemilihan tidak boleh ditangguhkan lagi. Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perlu mengadakan mesyuarat dan menetapkan agar pemilihan diadakan tanpa sebarang penangguhan.

“Penangguhan pemilihan tidak menjamin bahawa UMNO akan semakin kuat. Telah terbukti sebelum ini, pemilihan ditangguhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah,” katanya.

Sebelum ini ramai pimpinan UMNO mendesak Ahmad Zahid berundur secara terhormat dan mengadakan pemilihan UMNO dengan segera bagi menyelesaikan kemelut dalamannya.

Antaranya Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang turut berbuat demikian ekoran audio mirip Ahmad Zahid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular sekali gus memberi kesan buruk kepada UMNO.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker