Mansuh ‘bayar dahulu bincang kemudian’ dalam Akta Cukai Pendapatan, kata Guan Eng
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diminta memansuhkan Seksyen 103B yang baharu diperkenalkan dalam Akta Cukai Pendapatan kerana dilihat tidak adil dan menolak bidang kuasa mahkamah, kata bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pengenalan seksyen baharu yang diwartakan pada 31 Dis tahun lalu itu hanya memaksa pembayar cukai membayar terlebih dahulu tanpa menghiraukan sama ada taksiran itu tidak adil atau tidak masuk akal.
“Pengenalan baharu Seksyen 103B menjadikan cukai harus dibayar walaupun ‘permulaan prosiding di bawah mana-mana undang-undang bertulis’.
“Dengan kata lain, ‘bayar dahulu bincang kemudian’. Ini adalah penolakan hak keadilan asasi pembayar cukai dan bidang kuasa mahkamah,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, jika kerajaan enggan memansuhkannya, hanya pertukaran kerajaan yang dapat menghentikan penindasan melampau oleh kerajaan PN itu.
“Bersenjatakan dengan kuasa baru yang diberikan oleh PN, banyak perniagaan yang sedang menderita akibat kemelesetan ekonomi dikenakan tindakan sedemikian oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntut pembayaran,” katanya.
Lim turut menjelaskan, pada masa lalu pembayar cukai kebiasaanya memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk perintah penangguhan melalui permohonan semakan kehakiman, di mana pembayar cukai dibenarkan untuk menahan pembayaran taksiran cukai sehingga penyelesaian kes.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan PN yang dilaporkan kehabisan dana seharusnya tidak begitu terdesak untuk mencari wang dengan rakus dan sembarangan dengan memangsakan perniagaan, pembayar cukai yang sedang menderita akibat kemelesetan ekonomi.
Katanya, pengakuan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengenai kerajaan PN sudah tidak mempunyai banyak wang tidak boleh dijadikan alasan untuk meminda undang-undang cukai yang melanggar prinsip hukum keadilan asasi.
“Sekiranya perlu, paras siling hutang kerajaan harus dinaikkan dari 60% KDNK (keluaran dalam negara kasar) sekarang kepada 65% atau bahkan 70%.
“Kerajaan PN yang kian kehabisan dana tidak seharusnya terdesak untuk mencari wang tunai dengan secara rakus dan sembarangan dengan memangsakan perniagaan/ pembayar cukai yang sedang menderita akibat kemelesetan ekonomi,” katanya. FMT
Aset dilucut hak, bankrap: Bagaimana mahu upah peguam bela diri?
You must be logged in to post a comment.