Filipina kemuka bantahan baru ke atas China, dakwa ceroboh perairan
MANILA: Filipina mengemukakan bantahan diplomatik baharu ke atas China pada Rabu, mendakwa negara jiran itu melakukan penangkapan ikan secara haram dan membabitkan lebih 240 kapal di wilayah perairan negara Asia Tenggara itu.
Jabatan Hal Ehwal Luar Negara Filipina berkata dua bantahan telah dikemukakan, beberapa hari selepas Manila memanggil Duta Besar China Huang Xilian untuk mendesak pengunduran kapal-kapalnya di Terumbu Whitsun yang dipertikaikan di Laut China Selatan dan zon maritim Filipina yang lain.
Filipina bulan lalu menggambarkan kehadiran lebih 200 kapal yang dipercayai dikendalikan oleh militan di zon ekonomi eksklusif 322km negara itu sebagai “mengerumuni dan mengancam”, sementara AS, Jepun dan negara lain telah menyuarakan kebimbangan mengenai niat China, yang kemudiannya ditegur Beijing.
Dalam catatan di Twitter, Setiausaha Luar Teodoro Locsin berkata: “mereka benar-benar menangkap segala hasil yang ada diperairan yang mengikut undang-undang adalah milik kita”.
Pasukan petugas kerajaan Filipina berkata kapal, yang panjangnya sekitar 60m, dapat menangkap satu tan ikan sehari. Ia berkata sejumlah 240 kapal berada di beberapa kawasan di perairan Filipina pada hari Ahad, termasuk sembilan di Terumbu Whitsun.
“Kebanjiran kapal-kapal China secara berterusan menimbulkan ancaman terhadap keselamatan pelayaran, keselamatan nyawa di laut, dan menghalang hak eksklusif rakyat Filipina untuk meraih keuntungan dari kekayaan laut di zon ekonomi eksklusif,” kata pasukan petugas itu dalam satu kenyataan pada lewat hari Isnin .
Kedutaan besar China di Manila dan kementerian luar negera di Beijing belum mengulas lanjut isu berkenaan ketika dihubungi media.
Terdahulu Diplomat China berkata Terumbu Whitsun adalah sebahagian daripada kawasan perikanan tradisionalnya, dan kapal-kapal itu berlindung dari laut bergelora serta tidak membawa militan.
Sejak berkuasa pada 2016, Presiden Rodrigo Duterte telah mengkritik dasar luar AS dan berusaha untuk memperbaiki hubungan dengan Beijing, namun ketegasan maritim China kadangkala meletakkan beliau dalam keadaan yang sukar.
Tentera laut Filipina merancang untuk mengerah tiga lagi kapal di Laut China Selatan.
“Kita perlu memahami, untuk mengatakan bahawa satu kawasan itu adalah wilayah kita, kita perlu berada di sana,” kata jurucakap tentera Edgard Arevalo. FMT
Apa yang kita perlu tahu mengenai tuntutan Malaysia di Laut China Selatan