Cerita Chong Wei didik anak bertolak ansur, hormat menghormati
Pada hari pertama umat Islam menjalani ibadah puasa, jaguh badminton negara Lee Chong Wei berkongsi kisah mengenai perbualan dengan anak sulungnya yang berusia 8 tahun mengenai ibadah tersebut.
Cerita Chong Wei, anaknya, Kingston Lee, 8 mempersoalkan kejadian yang berlaku sewaktu rehat di sekolah apabila dua rakan baiknya – Amli dan Syihan – enggan makan dan minum bersamanya.
Manakala gurunya juga meminta supaya Kingston atau panggilan manjanya Koko untuk makan agak jauh daripada segelintir kawan-kawan yang lain.
“Apa salah saya papa,” kata Chong Wei mengulang semula kata-kata anak kesayangannya itu.
“Tergamam aku dibuatnya seketika. Salah saya juga sebenarnya kerana tidak memberi penjelasan bulan puasa sebelum ini.
“Koko @kingstonleekc, you tak salah. Kawan-kawan you tu sebenarnya dah start puasa. Dan cikgu suruh makan di tepi sebagai tanda penghormatan kepada kawan-kawan yang tengah berpuasa tu.
“Jadi, kamu kena nasihat kawan-kawan Cina, India yang lain, mesti sokong kawan-kawan Melayu ni menjalankan ibadah puasa. Kena bertolak-ansur dan hormat sesama lain,” tulisnya dalam hantaran di Facebook.
Bagaimanapun menurut Chong Wei, anaknya menunjukkan rasa tidak puas hati dengan penjelasan tersebut dengan mempersoalkan mengapa dirinya perlu bertolak ansur, sedangkan dia tidak berpuasa.
“Belum sempat saya marah, tangan penampar @wongmewchoo (isteri) terus melanda ke atas tangan anak.
“Tahulah saya dia pandai smash juga, tapi memang laju tangan dia kali ni,” katanya merujuk kepada isteri, Wong Mew Choo, yang juga merupakan pemain badminton negara.
Jaguh badminton kesayangan ramai itu berkata dia menjelaskan bahawa jika tiada sikap tolak ansur sesama mereka, Amli dan Syihan mungkin tidak akan lagi berkawan dengan Koko.
Katanya lagi, anaknya itu juga mungkin dimarahi jika bermain mercun pada Tahun Baru Cina dan rakan berbangsa India yang menyambut perayaan Thaipusam pula mungkin dihalang melakukan perarakan.
“Kita menang bola dan Thomas Cup pun sebab kita bertolak ansur dan bersatu padu,” sambung saya.
“Dengan muka menyesal, pendek sahaja jawapan anak saya, ‘saya mahu berkawan baik dengan Amli dan Syihan,” kata Chong Wei yang mengatakan nama berkenaan bukan nama sebenar rakan-rakan anaknya.
Pada hantaran itu Chong Wei turut memuat naik gambarnya memakai baju Melayu berwarna biru lengkap bersampin dengan ucapan salam Ramadan kepada seluruh umat Islam.