‘Liu tak mewakili saya’, Yeoh kecam kenyataan rakan DAP


PETALING JAYA: Ronnie Liu tidak mewakili saya, tidak bercakap bagi pihak saya, demikian ujar Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mengecam kenyataan rakan separtinya, Ronnie Liu bahawa DAP tidak boleh “mencairkan kecinaannya”.

Dalam catatan di Facebook hari ini, Yeoh menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan Liu seperti dilaporkan sebuah portal akhbar dalam talian hari ini, yang juga memetik Liu sebagai berkata DAP tidak boleh menggambarkan dirinya sebagai “parti bukan Cina”.

“DAP yang Ronnie mahukan bukan DAP yang saya sertai. Saya sertai DAP kerana parti ini mempertahankan semua rakyat Malaysia,” kata Yeoh.

Memetik kata-kata Liu seperti dilaporkan Malaysiakini, Yeoh mempersoalkan maksud Liu apabila beliau berkata “DAP adalah untuk semua rakyat Malaysia. Kita perlu bekerjasama dengan parti-parti Melayu yang lain, tetapi kita tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan diri kita sebagai parti bukan Cina”.

Berkenaan kenyataan Liu tentang “DAP tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya kerana kritikan daripada musuh politik,” Yeoh menyifatkannya sebagai kenyataan yang mencerminkan mentaliti yang sempit dan toksik.

Kata Yeoh, kenyataan Liu, yang juga ahli jawatankuasa eksekutif pusat, telah menjejaskan usaha para pemimpin DAP lain yang berusaha memerangi prasangka dan stigma terhadap DAP.

“Pengalaman saya dengan DAP mungkin lebih pendek berbanding penglibatan Ronnie tetapi saya nak katakan di sini bahawa pengalaman dan perjuangan saya di dalam DAP tidak sama sekali dengan kata-kata beliau. Cukuplah, Ronnie,” kata Yeoh.

Beliau juga menceritakan bagaimana Liu “menghitung hari” di laman Facebook sehingga tiba masa Dr Mahathir Mohamad mengundurkan diri sebagai perdana menteri dan menyerahkan jawatan tersebut kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Tindakan ini tidak membantu menteri dan timbalan menteri Pakatan Harapan yang bekerja keras dalam bidang tugas masing-masing, kata Yeoh.

Tambah beliau, semua orang, termasuk Dr Mahathir, Anwar, Liu dan dirinya sendiri patut rasa bertanggungjawab atas kejatuhan kerajaan PH.

“Kepimpinan yang bertanggungjawab memerlukan kita memeriksa diri kita sendiri.

“Bagi Ronnie, tiada tindakan Dr Mahathir yang betul. Bagi Ronnie, Anwar tak pernah berbuat salah,” kata beliau. FMT

PCM kecam Ronnie Liu hina Raja-Raja Melayu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker