Lebih ramai lepasan SPM, STPM tercicir jika universiti terhad



Sebaran :

 

PETALING JAYA: Peluang untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) me­lanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta terhad jika negara ini hanya membenarkan 15 hingga 20 universiti beroperasi.

Realitinya, lebih 400 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pada masa ini hanya merekodkan kurang daripada 50 peratus penuntut dan jika skala universiti terpaksa dikecilkan, belia dalam lingkungan umur 18 hingga 23 tahun terpaksa bersaing malah ada yang tercicir dan tidak berpeluang ke menara gading.

Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md. Isa berkata, memang berlaku lambakan IPT terutama sektor swasta namun mereka tetap memainkan peranan sebagai pusat ilmu selari dengan dasar-dasar pendidikan tinggi dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).



“Setiap industri memang ada kelemahan tersendiri tetapi kenalah adil. Bayangkan kalau tiada IPTS, apa jadi dengan kerajaan? Kerajaan tidak mampu menanggung kos-kos untuk pembangunan, kemudahan dan pelaburan universiti dalam jangka waktu yang singkat.

“Orientasi di IPTS memang berasaskan untung. Tetapi, adakah ia satu ‘dosa’ atau menyalahi undang-undang? Kalau tidak untung, tidak bolehlah IPTS menawarkan pendidikan yang bagus.

“Ada pun pihak yang mendakwa IPTS hanya mengaut untung dan mengabaikan nilai akademik, itu hanya tanggapan seolah-olah mereka tidak menghargai peranan yang dimainkan IPTS selama ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.



Kelmarin. ahli Majlis Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, negara hanya memerlukan 15 hingga 20 universiti termasuk awam dan swasta.

Ini berikutan lambakan universiti yang merekodkan lebih 400 institusi dilihat menjejaskan kualiti graduan setelah tamat belajar malah institusi pendidikan tinggi didakwa hanya mengaut untung selain menyumbang terhadap jumlah pengangguran.

Dalam pada itu, Amir Hamzah menegaskan, IPTS tidak sesekali mengambil pelajar tidak layak atau gagal peperiksaan awam untuk menyambung pengajian sekali pun mereka mampu menanggung yuran yang mencecah puluhan ribu ringgit.



“IPTS tidak sebebas itu mengambil pelajar kerana terikat dengan akreditasi, kawal selia dan penarafan. Setiap program pula ada syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan oleh MQA. Janganlah fikir, ada duit sahaja, maka boleh belajar di universiti,” katanya.

Selain itu, katanya, melihat jumlah universiti sudah terlalu berlebihan, kerajaan perlu melihat dan menambah baik sistem penyampaian antara IPTA dan IPTS dengan melakukan penarafan terhadap sesebuah universiti.

“Kerajaan berperanan dalam memberikan penarafan dan diaudit oleh badan-badan berkecuali supaya ibu bapa dan pelajar boleh membuat pilihan mahu masuk ke universiti mana selain meningkatkan kualiti dan kebolehpasaran graduan,” katanya




Sebaran :


Leave a Reply