Ajarkan anakmu berpuasa
BULAN Ramadan adalah bulan yang sangat mulia dan ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam. Bulan ini telah terjadinya peristiwa nuzulu Quran (turunnya al-Quran) sebagai petunjuk dan keterangan di antara yang perkara yang hak dan batil.
Bulan ini juga diwajibkan berpuasa tidak hanya bertujuan meninggalkan makan dan minum sahaja melainkan juga untuk mendidik hati dan jiwa untuk meninggalkan sifat-sifat mazmumah (yang tercela) berubah kepada sifat-sifat mahmudah (yang terpuji) demi meraih ketakwaan.
Bulan yang pada awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya pembebasan dari api neraka. Puasa hukumnya wajib bagi setiap orang Islam yang akil dan baligh serta mampu untuk berpuasa.
Namun begitu, merupakan tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak yang belum baligh agar mereka terbiasa untuk berpuasa. Apabila dalam solat, anak sudah diperintah untuk solat di awal usia tujuh tahun walaupun belum baligh demikian juga puasa.
Ini bertujuan mengajarkan kepada mereka akan perintah Allah yang akan menjadi kewajipan kepadanya. Ia juga untuk melatih mereka membiasakan diri untuk berpuasa agar apabila mereka mencapai umur baligh nanti tidak sukar baginya untuk meneruskannya.
Diriwayatkan dari Ar-Rubai’ binti Mu’awwidz berkata; Nabi SAW mengirim utusan ke kampung kaum Ansar pada siang hari ‘Asyura (untuk menyampaikan): Bahawa siapa yang tidak berpuasa sejak pagi hari maka dia harus menggantinya pada hari yang lain, dan siapa yang sudah berpuasa sejak pagi hari maka hendaklah dia melanjutkan puasanya.
Dia (Ar-Rubai’ binti Mu’awwidz) berkata; “Setelah itu kami selalu berpuasa dan kami juga mendidik anak-anak kecil kami untuk berpuasa dan kami sediakan untuk mereka semacam alat permainan terbuat dari bulu domba, apabila seorang dari mereka ada yang menangis meminta makan maka kami beri dia permainan itu. Demikianlah terus kami lakukan hingga tiba waktu berbuka. (Riwayat Bukhari)
Maksud hadis ini bahawa dahulu puasa Asyura’ adalah satu kewajipan sebelum turunnya kewajipan puasa Ramadan yang memansuhkan hukum puasa Asyura’ dan bertukar menjadi sunat.
Oleh sebab itu, Nabi menghantar utusan untuk memaklumkan kewajipan puasa Asyura’. Apa yang menjadi perhatian dalam hadis ini ialah para sahabat tidak hanya mematuhi pengumuman itu untuk diri sendiri namun juga terhadap anak-anak mereka.
Mereka mengajar anak-anak mereka berpuasa dan menyediakan untuk mereka permainan untuk mengalihkan perhatian mereka daripada mengingati makan dan minum.
AJAR ANAK BUAT IBADAT
Dalam hal ini, orang tua perlu mengikat anak-anak mereka dengan ibadah, mengajar mereka apa yang diperintahkan dan hal-hal yang dilarang, agar pertumbuhan mereka tidak jauh dari ibadah kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda: Perintahkan anak-anakmu untuk melakukan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang, yang demikian itu pencegah kepada mereka dan juga pada kamu dari api neraka.
Mendidik anak untuk beribadah akan menjamin pertumbuhan anak itu dengan baik dan memiliki akhlak yang mulia. Sebabnya, ibadah adalah aspek penting dalam membangun kepribadian seseorang. Puasa adalah salah satu ibadah yang mempunyai potensi dalam mendidik akhlak seorang muslim.
Sebagai contoh, puasa mendidik seseorang bersikap jujur. Saidina Umar berkata: “Bukanlah puasa itu meninggalkan makan dan minum sahaja akan tetapi meninggalkan dusta dan kebatilan dan hal-hal yang melalaikan”.
[VIDEO] Audio tular: Kalau Betul, Apa Masalahnya? Ada Khianat Disitu???- Anwar
Puasa mendidik seseorang untuk menjaga emosi. Nabi SAW bersabda: Puasa itu benteng, maka (orang yang melaksanakannya) janganlah berbuat kotor dan jangan pula berbuat bodoh. Apabila ada orang yang mengajaknya berkelahi atau menghinanya maka katakanlah aku sedang berpuasa (ia mengulang ucapannya dua kali).
Berpuasa mendidik hawa nafsu, Rasulullah SAW bersabda: Wahai sekalian pemuda, siapa di antara kalian yang telah mempunyai kemampuan, maka hendaklah dia menikah, dan barang siapa yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa kerana hal itu akan lebih bisa meredakan gejolaknya. (Riwayat Bukhari).
Puasa akan membawa pada ketakwaan, firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)
Begitu juga banyak lagi hikmah puasa. Apabila hikmah puasa ini diaplikasikan, maka anak-anak akan terbentuk kepribadian mereka untuk menjadi insan yang jujur, sabar, mengawal emosi serta mampu menahan hawa nafsu dan itu semua menjadi tanda-tanda ketakwaan bagi mereka.
Ini baru hikmah puasa, apatah lagi jika ditambah dengan hikmah-hikmah yang ada pada ibadah-ibadah lain. Apabila anak terdidik dengan ibadah yang dapat membentuk kepribadian sebagai muslim yang bertakwa dan berakhlak mulia, maka masyarakat bangsa dan negara akan memiliki aset yang sangat berharga untuk memimpin di masa hadapan.
Penyair berkata: “Sesungguhnya kekuatan umat ini bergantung kepada akhlak mereka yang teguh, sekiranya hilang akhlak mereka itu nescaya hancurlah kekuatan mereka”.