Aset dilucut hak, bankrap: Bagaimana mahu upah peguam bela diri?
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini secara terbuka melahirkan kesukaran untuk mempertahankan dirinya di mahkamah atas beberapa pertuduhan.
Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, segala aset yang dimiliknya telahpun dilucut hak.
Terkini dia telah menerima notis kebrankrapan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung cukai sebanyak RM1.7 bilion.
Bekas Presiden UMNO itu berkata, dengan tindakan yang dikenakan ke atas dirinya bagaimana dia mahu mencari wang untuk membayar peguam bagi mempertahankan diri di mahkamah.
“Saya telah didakwa dengan kes jenayah. Aset saya sudah tiga tahun dilucut hak tanpa sebarang bukti.
“Dan kini kerajaan mahu bankrapkan saya dengan undang-undang LHDN yang tidak boleh dicabar dalam mahkamah. Tidak pula dijadualkan dan diberi peluang merayu kesahihan cukai tambahan RM1.74b ini kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan di bawah LHDN.
“Bagaimana pula saya nak mengupah peguam untuk membela saya?” tanya Najibb.
Mengikut dokumen yang difailkan di mahkamah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan notis itu di Mahkamah Tinggi di sini, pada 4 Februari lalu terhadap Najib selaku penghutang.
Berdasarkan notis berkenaan, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021 jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.
Pada 22 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.
“Jika ianya dikira sebagai sumbangan politik, ianya tak boleh dicukai. Jika ianya diambil kira pula sebagai pendapatan peribadi dari luar negara, ianya telah dikecualikan cukai sejak tahun 2004.
“Jika ianya hasil rompakan, adakah hasil rompakan juga dikenakan cukai? Kenapa pula dakwa saya bahawa ianya hasil rompakan?
“Dan sejak bila wang yang dipulangkan kepada penghantar selepas tempoh 4 bulan sahaja dikira sebagai pendapatan yang dikenakan penalti cukai 40%+10%+5%?” tanya Najib. SM
You must be logged in to post a comment.