UMNO sepatutnya bersyukur

UMNO sepatutnya bersyuku


Walaupun tidak menjadi Perdana Menteri, UMNO memiliki sejumlah besar menteri dalam Kabinet iaitu seramai sembilan orang yang berperanan penting dalam mencorakkan hala tuju negara.

Saya amat tertarik untuk memberi maklum balas mengenai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 baru-baru ini yang bersetuju memberi mandat kepada Presiden dan Majlis Tertinggi untuk menentukan jeda masa menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) selain memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sekali gus dengan itu bergema juga suara pemimpin UMNO meminta menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri dari parti itu meletakkan jawatan dalam Kabinet, begitu juga pengerusi dan ahli-ahli lembaga pengarah (ALP) syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bagi disesuaikan dengan keputusan PAU.

Pada pandangan saya, gesaan sedemikian merupakan satu tindakan yang sangat tidak waras kerana akan menimbulkan banyak implikasi negatif kepada negara keseluruhannya.

Sudah lebih setahun negara berhadapan wabak Covid-19 yang memberi kesan besar terhadap ekonomi rakyat. Walaupun dalam keadaan sebegitu, saya melihat masih ada segelintir ahli-ahli politik yang masih berpolitik tanpa mengira kesusahan rakyat di bawah.



Apa salahnya jika ahli-ahli Parlimen bersatu hati menyokong kerajaan pada hari ini sehingga kita dapat menangani masalah Covid-19 dengan baik? Apa yang lebih penting sekarang adalah kebajikan rakyat dan peluang-peluang ekonomi yang harus dibuka bagi membantu bukan sahaja anak-anak muda bahkan golongan B40 yang teruk terjejas akibat Covid-19.

Melalui artikel-artikel sebelum ini, saya memberi nasihat dan pandangan berkaitan kepentingan untuk ahli-ahli politik Melayu dan Islam bersatu, terutama di bawah pembentukan kerajaan PN yang merupakan gabungan sokongan parti-parti UMNO, Bersatu dan Pas yang majoritinya orang Melayu dan Islam.

Sejak dahulu lagi saya sudah nyatakan, sekiranya orang Melayu berpecah maka politik orang Melayu juga akan turut berpecah. Sudah pasti kuasa politik yang sepatutnya dimiliki oleh orang Melayu selaku rakyat majoriti di negara ini tidak akan sepenuhnya dapat digunakan dengan sebaiknya untuk survival orang Melayu bila mereka berpecah.

Pemimpin dan ahli UMNO harus sedar, tanpa pembentukan kerajaan PN, kita mungkin masih bergelar pembangkang dan tidak akan memimpin semula negara seperti mana sekarang. Walaupun tidak menjadi Perdana Menteri tetapi kita dari UMNO memiliki sejumlah besar menteri, iaitu seramai sembilan orang yang berperanan penting dalam mencorakkan hala tuju negara.



Sepatutnya kita dari UMNO bersyukur kerana doa kita untuk kembali memimpin negara setelah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan telah memberi pengalaman amat perit bukan sahaja kepada orang Melayu dan Islam tetapi juga merosakkan ekonomi, politik dan kestabilan hubungan antara kaum.

Umno 3.0 sedia ambil alih daripada Zahid, Najib, kata sumber dalaman

EGO



Lebih penting lagi, ahli-ahli Parlimen kita dari UMNO diberikan peranan penting dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 melalui tanggungjawab besar yang diberikan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Kanan Keselamatan), Datuk Seri Dr. Adham Baba (Menteri Kesihatan) dan Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi). Begitu juga dengan menteri-menteri lain yang semuanya mempunyai peranan besar dalam pemerintahan negara.

Siapa berani menyatakan portfolio yang diberikan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Luar Negeri), Datuk Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi), Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (Menteri Tenaga dan Sumber Asli), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Belia dan Sukan), Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan) dan Datuk Halimah Mohamed Sadique (Menteri Perpaduan Negara) sebagai tidak penting? Pasti tidak ada.

Walaupun kita harus berpijak di bumi nyata, namun hari ini UMNO bukan lagi mempunyai majoriti malah tidak lagi berkuasa seperti dahulu. Jangan kerana ego dan kepentingan sesetengah individu menyebabkan UMNO dijadikan mangsa.

Jika ego dan kepentingan diri begini wujud dalam UMNO, kesannya sudah pasti rakyat dan negara akan tergadai semula ke tangan individu-individu yang tidak bertanggungjawab sama seperti PH yang telah memerintah negara selama 22 bulan.



Saya sekali lagi menyeru semua pemimpin politik untuk terus bersatu dan menyokong kepimpinan negara di kala rakyat berdepan pelbagai masalah dan cabaran. Diminta agar semua pihak melupakan seketika sengketa politik dan janganlah semata-mata meletakkan kepentingan diri sebagai perjuangan utama.

Selepas krisis Covid-19 ini selesai, saya pasti rakyat akan berterima kasih dan berbangga di atas segala apa yang telah kita lakukan pada hari ini yang akan dikenang sebagai satu pengorbanan.

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang berada dalam kerajaan yang tetap menjalankan tugas mereka seperti biasa serta tidak menghiraukan tekanan yang diberikan.

Akhir sekali, saya amat mengharapkan pemilihan parti dapat diadakan dengan kadar segera agar kemelut dan perpecahan dalaman dapat dielakkan selaras dengan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, pada 18 Januari lalu bahawa Presiden UMNO bersetuju supaya pemilihan parti akan diteruskan di semua peringkat seperti dijadualkan pada tarikh sesuai, tahun ini.



Pada masa sama, saya berpendapat, kemunculan audio rakaman yang menunjukkan perlanggaran luar biasa seseorang yang suaranya menyerupai suara pemimpin tertinggi UMNO ke atas keputusan Majlis Tertinggi dan ketetapan PAU baru-baru ini memungkinkan perhimpunan agung luar biasa (EGM) perlu dipanggil segera untuk membolehkan satu keputusan yang lebih tuntas dan jelas ke atas hala tuju parti dibincang dan diterima oleh majoriti ahli dan pemimpin UMNO.

Prof Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah Pengerusi Yayasan Minda dan Penasihat Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR)

Ya pemilihan boleh ditangguh hingga 18 bulan tapi MKT akan tentukan – Ismail Sabri



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker