Saya dengar 10 kali, saya yakin audio itu tulen – Annuar Musa


Annuar Musa mendakwa rakaman audio perbualan dua individu dipercayai Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, yang tular di media sosial adalah tulen, selepas beliau mendengarnya malam tadi.

“Saya cuba mendengarnya 10 kali malam tadi, saya rasa saya boleh cam suara itu dan yakin 100% ia tulen,” katanya pada sidang media pelancaran Blueprint Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) di kementeriannya, menurut laporan Sinar Harian.

Bekas setiausaha agung Umno itu berkata, sebagai orang yang amat dekat dan rapat dengan kedua-dua tokoh politik itu, pengecaman suara dalam audio berkenaan bukan perkara rumit.

Semalam, satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Zahid dan Anwar tular di media sosial.

Dilaporkan rakaman itu, antara lain menyebut ucapan Zahid pada Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU2020) baru-baru ini yang menolak kerjasama dengan pembangkang hanya taktik.

Zahid kemudian menafikan rakaman berkenaan selain memaklumkan bahawa tiada sebarang perbualan antara beliau dengan Anwar selepas perhimpunan agung parti itu baru-baru ini.

Dalam kenyataannya Zahid berkata, rakaman audio yang disebarkan itu adalah “usaha berterusan” untuk melemahkan dan menghancurkan Umno.

Hari ini, Anwar turut menafikan beliau adalah pemilik suara yang dirakam dalam perbualan telefon dengan presiden Umno itu.

Beliau mendakwa, gerakan fitnah itu sengaja direka pihak tertentu menggunakan PKR untuk menyerang pimpinan Umno. FMT

Mereka nak gunakan kita lawan politik dalam UMNO – Anwar Ibrahim

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker