Rakaman audio modus operandi alih pandangan ketidakcekapan PN

Sebaran :


Rakaman audio yang tersebar didakwa antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merupakan modus operandi yang cuba digerakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengalih pandangan masyarakat terhadap realiti semasa yang berlaku terhadap ketidakcekapan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor, Dzulhilmi Zainol berkata, rakyat secara keseluruhannya faham akan realiti semasa yang berlaku pada hari ini dan sedar biarpun lebih setahun Kerajaan PN ditubuhkan namun isu legitimisi atau keabsahan ini masih tidak terjawab dan mereka seterusnya memanfaatkan perlaksanaan darurat demi mengekalkan kedudukan dan kuasa yang sedia ada.

”Kita dapat lihat bagaimana pertumbuhan ekonomi negara dan pelaburan asing telah menyusut sebanyak 5.6% dan 68% susulan daripada perlaksanaan darurat dan pergantungan Parlimen.

”Kesan daripada perlaksaan tersebut tidak sekadar berhenti di situ sahaja kerana angka pengangguran terus meningkat kepada hampir 800,000 dan 75% daripada jumlah tersebut merupakan golongan belia terutamanya melibatkan graduan universiti,” katanya dalam kenyataan di sini.



Menurut beliau, dalam keadaan negara-negara jiran seperti Indonesia dan Singapura terus menunjukkan perkembangan positif baik dari sudut ekonomi mahupun pertumbuhan sosial walaupun pada hakikatnya, cabaran yang dihadapi oleh mereka menjurus kepada penularan Covid-19 lebih membimbangkan.

Malah, kedudukan Kerajaan PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin dari semasa semasa telah menggambarkan keretakan yang amat ketara.

Jika diimbaskan kembali beberapa bulan selepas tertubuhnya Kerajaan PN, sebuah rakaman audio melibatkan Muhyiddin bersama pimpinan tertinggi Bersatu telah tular.

Rakaman itu jelas mengandungi unsur rasuah atau suapan yang boleh didakwa berdasarkan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 iaitu menawar atau memberi suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi, tambah beliau.



Walau bagaimanapun, katanya, sehingga pada saat ini tidak ada sebarang kertas siasatan dibuka walaupun berpuluh laporan polis telah dibuat oleh orang awam di seluruh negara.

Dzulhilmi berkata, Anwar telah menyatakan dengan tegas bahawa tiada sebarang kerjasama rasmi di antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan bersama UMNO mahupun parti-parti yang berada di dalam kerajaan mahupun pihak pembangkang.

Namun PKR sebagai parti yang sentiasa menjunjung semangat demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan tidak menolak sebarang kemungkinan yang berlaku menjelang Pilihanraya Umum Ke-15. MG

PN Seperti Sambung Era Falsafah Ekonomi PH


Sebaran :

Leave a Reply