Anwar boleh berbual dengan siapa sahaja

 

 

SEREMBAN: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh bersembang dengan siapa sahaja termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam keadaan politik masa kini yang semakin matang.



Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, tiada mana-mana pihak yang boleh menyekat perjumpaan antara pemimpin meskipun berbeza fahaman politik.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk berjumpa sesiapa, memandangkan landskap politik ketika ini berbeza daripada dahulu. Apa salahnya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berbual bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim? Jika saya berjumpa Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) apa pula yang saya bincangkan, kadang-kadang tiada` sebarang masalah dan boleh jumpa sesiapa pun.

“Macam dahulu UMNO sekejap bersama Pas dan sekarang Pas bersama Bersatu. Apabila Anwar berjumpa orang semua orang takut, apa salahnya jika beliau (Anwar) berjumpa Perdana Menteri, kini, beliau berjumpa Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO, mungkin masing-masing ada cerita yang boleh diluahkan, ada strategi masing-masing,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.



Awal pagi tadi, sebuah portal berita mendedahkan fail rakaman audio perbualan telefon yang tular di media sosial dan aplikasi perbualan dalam talian mengaitkan dua pemimpin itu.

Rakaman telefon itu dipercayai berlaku beberapa jam selepas ucapan penggulungan Ahmad Zahid ketika Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini yang mengumumkan mandat yang diperolehnya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menafikan wujud perbualan telefon antara dirinya dan Ketua Pembangkang tersebut.

Sementara itu, menurut Aminuddin, beliau yakin dengan hala tuju PKR ketika ini dan menyerahkan segala keputusan kepada kebijaksanaan Anwar.



“Rakyat dilihat semakin bijak dalam menilai sebarang pemimpin dan pemimpin tidak harus memberi persepsi yang buruk. Ketika ini, macam-macam boleh terjadi dan saya serahkan kepada pemimpin di atas.

“Saya juga mahu menasihatkan agar masyarakat perlu bersangka baik dan melihat tugas pemimpin yang sentiasa proaktif. Jangan ugut pemimpin dan meminta pemimpin ‘melompat’,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker