Ulama dan umara gandingan memaju negara

Keahlian Dewan Negara perlu dilantik dari kalangan ilmuwan, pemimpin NGO, pemimpin wibawa,

mereka yang tak terbabit dengan politik kepartian

PERKARA 39 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak pada Yang Di Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri tetapi Parlimen boleh melalui undang-undang memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

Berdasarkan Perkara 39 di atas umara sebenar di dalam negara kita adalah Yang Di Pertuan Agong manakala jemaah menteri membantu Yang Di Pertuan Agong menjalankan tanggungjawab berperlembagaan baginda melalui tindakan-tindakan jemaah Menteri tersebut.

Dalam ertikata lain Yang Di Pertuan Agong di peringkat persekutuan (Raja-Raja Melayu di peringkat negeri) bersama-sama jemaah menteri diperingkat persekutuan (exco kerajaan diperingkat negeri) dan para pentadbir yang lain merupakan umara dalam sistem perundangan negara.

Manakala peranan alim ulama tidak harus dikesampingkan kerana merekalah yang akan menasihati para umara agar tidak tergelincir dari landasan yang sebenar iaitu Hukum Syarak. Hal yang demikian sangat jelas apabila dimaktubkan di dalam undang-undang peranan alim ulama.

Di setiap negeri terdapat peruntukan menyatakan Majlis Agama Islam hendaklah membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan berkenaan dengan semua perkara yang berhubungan dengan agama Islam di dalam tersebut, manakala Mufti hendaklah membantu dan menasihati Sultan berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak dan pentadbiran keadilan dalam Islam pula dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah.

Jelaslah di sini peranan alim ulama sangat penting di dalam segala aspek berkaitan dengan agama Islam itu sendiri samada di peringkat negeri ataupun persekutuan. Alim ulama dan pemimpin bagai aur dengan tebing saling lengkap melengkapi antara satu sama lain bukan bersaing sesama mereka.

Di peringkat legislatif persekutuan sudah pasti ramai yang tahu bahawa terdapat dua dewan yang menguruskan penggubalan undang-undang iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Di peringkat negeri pula terdapat Dewan Undangan Negeri dan Dewan Diraja.

Keanggotaan dewan ini adalah berbeza iaitu di kalangan yang dipilih berdasarkan populariti undi dan dilantik berdasarkan status penghormatan dalam masyarakat keilmuan dan jasa seseorang.

Namun sejak akhir ini kedua-dua dewan diperingkat Persekutuan dimonopoli oleh individu dari kalangan parti siasah sahaja. Ia menjadi wadah bagi meletakkan politikus yang tidak bertanding di dalam pilihanraya ataupun mereka yang tewas di dalam pilihanraya.

Pada pandangan saya keahlian Dewan Negara seharusnya dilantik dari kalangan ilmuan, pemimpin NGO, individu dihormati masyarakat, pemimpin berwibawa dan beragama dan mereka yang tidak terlibat di dalam politik kepartian termasuklah alim ulama.

Dengan cara ini barulah undang-undang yang digarap dapat dinilai dari pelbagai aspek tidak hanya berteraskan kepada kacamata politik semata-mata.

Dalam merealisasikan kerjasama antara ulama dan umara peranan yang lebih besar harus diberikan kepada para ulama agar dapat memberikan sumbangan penting kepada negara. Ulama juga perlu berprinsip melihat sesuatu perkara itu berdasarkan waqi’ yang ada di dalam negara kita dan tidak terikat sepenuhnya dengan pandangan ulama silam secara total.

Bukanlah saya mengatakan ulama silam silap di dalam takulan mereka mengenai suatu hukum tetapi mungkin pandangan mereka sesuai di zaman mereka kerana perubahan persekitaran kita ini menuntuk perubahan hukum itu sendiri bagi masyarakat hari ini.

Peranan ulama dan umara perlu dilaksanakan sebaiknya bagi memimpin rakyat ke arah lebih cemerlang. Umara memimpin ulama memastikan keutuhan aqidah terpelihara di dalam pimpinan tersebut.

Pertautan tiga elemen penting sesebuah negara iaitu ulama, umara dan rakyat itu sendiri sangat penting bagi kesejahteraan negara. Sekiranya ulama dan umara bergandingan maka rakyat juga yang akan menikmati kecemerlangan negara.

Walaupun pada zaman Rasulullah SAW istilah ulama dan umara ini disatukan kerana Rasullullah SAW tidak memimpin secara terjuzuk seperti keadaan sekarang ini tetapi realiti semasa yang memerlukan kalangan ulama dan umara bersesama di dalam membangun negara.

Kalau pada zaman Rasulullah SAW baginda merupakan sumber rujukan hal ehwal negara dan juga agama, tetapi ketika ini kita memerlukan ulama dan umara sama-sama bergandingan memajukan negara.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker