Vincent Tan lepas jawatan Pengerusi Eksekutif BCorp
KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Bhd (BCorp), Tan Sri Vincent Tan akan melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Eksekutif berkuatkuasa hari ini.
Beliau akan kekal dalam Lembaga Pengarah BCorp sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif, sejajar dengan visinya untuk mentranformasi BCorp Group kepada syarikat yang diuruskan oleh profesional.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BCorp Group, Abdul Jalil Abdul Rasheed yang dilantik ke dalam Lembaga Pengarah pada 16 Mac 2021 diberi mandat untuk mentransformasikan BCorp Group kepada organisasi berprestasi tinggi.
Ia menerusi pelarasan semula pelbagai perniagaan kumpulan untuk mewujudkan dan meningkatkan nilai pemegang saham, mengoptimumkan kewangan dan sumber manusia, meningkatkan sinergi dan kecekapan serta meningkatkan tadbir urus korporat dan ketelusan.
“Dengan Jalil Rasheed sebagai CEO Kumpulan, menguruskan urusan membuat keputusan strategik dan operasi dan merancang hala tuju perniagaan masa depan BCorp Group, bersama dengan Timbalan Pengerusi Eksekutif, Datuk Seri Robin Tan, saya yakin bahawa BCorp Group berada di tangan (mereka) yang mampu dan dapat melangkah maju ke tahap yang lebih tinggi.
“Ia juga penting untuk memberi Abdul Jalil ruang dan kebebasan untuk menguruskan Berjaya dengan gayanya sendiri. Saya kini dapat mengundurkan diri dari pembabitan aktif harian dalam perniagaan kumpulan dan menumpukan lebih banyak masa dan tenaga saya untuk menggalakkan inisiatif amal dan kepentingan lain.
“Saya diberkati dengan kekayaan dan bersyukur kerana banyak peluang yang sudah diberikan oleh Malaysia kepada saya. Sekarang masanya untuk memberinya kembali,” kata hartawan itu.
Tambahnya lagi, beliau sangat berminat dengan pembangunan rumah pada harga yang berpatutan untuk rakyat Malaysia memandangkan perumahan adalah keperluan asas dan mustahak untuk maruah, keselamatan dan keterangkuman seseorang.
Katanya, dua tahun lalu, Better Malaysia Foundation mengumpulkan profesional berminda terbuka untuk membantu merumuskan penyelesaian inovatif bagi mengatasi jurang kemampuan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia berpendapatan rendah, iaitu isi rumah B40.
“Kami melancarkan program enterpris sosial baharu dengan satu matlamat nasional, iaitu membantu usaha kerajaan dalam menyelesaikan keperluan pemilikan rumah bagi rakyat Malaysia berpendapatan rendah melalui inovatif dan penyelesaian yang mampan.
“Kerajaan kita sentiasa bersemangat untuk menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia berpendapatan rendah. Kami percaya bahawa program sosial baharu akan dapat melengkapkan agenda perumahan mampu milik kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Robin berkata, bapanya menyuarakan mengenai keinginan untuk mengundur diri dan membiarkan profesional menguruskan BCorp Group.
Beliau berkata, dengan melepaskan peranan eksekutifnya, bapanya mempunyai lebih banyak masa untuk melaksanakan minat yang lain.
“BCorp Group telah berkembang selama bertahun-tahun dan begitu juga pengurusannya. Sebaik saja proses dan rancangan transformasi kumpulan stabil, sejajar dengan visi Tan Sri Vincent mengenai pengurusan profesional bebas, saya juga merancang untuk memegang peranan bukan eksekutif dalam Lembaga Pengarah.
“Ini kemudian akan membolehkan saya mengejar minat saya sendiri,” katanya.
Abdul Jalil, yang akan mengambil tiga bulan pertama untuk melakukan tinjauan strategik BCorp Group berkata: “Saya sekarang bekerjasama dengan Datuk Seri Robin Tan dan Lembaga BCorp untuk memulakan proses transformasi dan membawa visi masa depan Tan Sri Vincent Tan untuk Berjaya Group membuahkan hasil.” BH
You must be logged in to post a comment.