Pemulihan ekonomi akan perlahan jika gagal tangani hutang negara – Anwar
KUALA LUMPUR: Fasa pemulihan ekonomi negara dijangka bertambah lambat pada tahun ini sekiranya kerajaan gagal menangani masalah hutang, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, beliau menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya segera mengarahkan pasukan ekonominya untuk memikirkan strategi baharu dalam meringankan beban rakyat pada ketika ini dengan melebihi kepentingan kroni.
“Masalah hutang ini sekiranya tidak ditangani dengan baik, ia akan melambatkan fasa pemulihan ekonomi pada tahun ini.
“Malah, untuk beberapa tahun akan datang juga sekiranya kerajaan yang ada pada hari ini tidak berbuat apa-apa,” katanya dalam hantaran yang dikongsi di Facebooknya di sini, pada Isnin.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyatakan kebimbangan dengan unjuran positif yang dibuat Bank Negara (BNM) berhubung tinjauan fiskal tahun mendatang dengan nisbah pendapatan isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahap yang sangat tinggi.
Dakwaan Langkah Membatalkan Pendaftaran UMNO, Ketua Pengarah ROS Menafikan
“Angka terkini adalah sebanyak 93.3 peratus. Angka lama, 87.5 peratus yang ditetapkan pada bulan Jun 2020 yang lalu juga sudah keterlaluan tinggi dan berada di tahap yang cukup memprihatinkan,” ujarnya lagi.
Beliau menjelaskan, sebilangan besar hutang itu adalah hutang pinjaman perumahan dan kenderaan berikutan kesan langsung daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sementara itu katanya, hutang kad kredit juga mencanak naik dan berada di tahap yang merungsingkan.
“Rakyat tidak ada banyak pilihan dalam mendepani masalah dan situasi ini akan mengheret mereka untuk membuat pinjaman baharu, lantas meletakkan mereka dalam beban hutang yang berpanjangan,” tambahnya.
Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, Tabung Kewangan Dunia (IMF) menyarankan untuk rencanakan dasar dan kebijakan baharu bagi menangani masalah kesenjangan kerana beban kewangan pada ketika ini memberi dampak yang cukup parah kepada golongan miskin dan tersisih.