Dap ekstrem : Guan Eng bidas dakwaan Mahathir


Kenyataan ‘DAP ekstrem’ tidak berasas, menyeleweng, Guan Eng jawab Dr M

DAP menolak dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu ekstremis.

Setiausaha agungnya, Lim Guan Eng berkata dakwaan Mahathir itu salah, tidak berasas dan menyeleweng.

Katanya, Mahathir salah kerana sejarah dan fakta membuktikan DAP adalah parti berbilang kaum yang berusaha untuk mewakili semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

“DAP tidak pernah mendiskriminasi atau mengambil kedudukan yang tidak setaraf dengan hak dan kepentingan rakyat Malaysia sama ada Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam.

“Pemimpin DAP masuk penjara kerana mempertahankan hak orang Melayu dan bukan Melayu.

“Semakin ramai rakyat Malaysia yang kagum dengan rekod prestasi kami yang terbukti dan tidak melihat DAP sebagai pelampau, apabila DAP dapat memenangi kerusi dengan lebih banyak pengundi Melayu daripada pengundi bukan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim berkata, baru-baru ini bantuan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim kepada ibu tunggal Melayu yang kehilangan tempat tinggal dengan 10 anak “adalah tindakan terbaik bagi mereka yang secara salah melabel DAP sebagai pelampau”.

Katanya, DAP adalah parti inklusif dan sudah memilih wakil daripada semua etnik utama, termasuk orang Melayu dan orang Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, parti komponen Perikatan Nasional (BN) atau Barisan Nasional (BN) adalah parti yang bersifat perkauman atau ekstremis dalam usaha untuk mewakili satu kumpulan kaum atau agama sahaja.

“Tidak seperti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang melihat dirinya sebagai orang Melayu terlebih dahulu, DAP melihat diri kita sebagai orang Malaysia,” kata Lim.

Mahathir membuat dakwaan itu ketika mengulas kenyataan seorang pemimpin Umno mengenai kemungkinan parti itu bekerjasama dengan DAP, jika ia menggunakan pendekatan lebih sederhana.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini dilaporkan berkata, masyarakat Melayu masih memandang DAP sebagai parti berasaskan kaum Cina.

Mahathir juga berkata MCA “agak ekstrem” suatu ketika dulu.

Chong Sin Woon, setiausaha agung MCA, bagaimanapun menolak dakwaan itu dengan berkata MCA tidak pernah bersifat melampau.

“Kami mengambil jalan tengah selama ini,” kata Chong kepada FMT.

Beliau berkata, bagi Mahathir semua orang ekstrem “kecuali dirinya sendiri”. FMT

Kami tak pernah ‘ekstrem’, MCA sangkal dakwaan Mahathir

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker